
IPOH, 16 Mei- Usaha mengurangkan beban tugas guru antara fokus utama inisiatif baharu kerajaan sempena sambutan Hari Guru tahun ini, selain pemerkasaan digital dan penambahbaikan kebajikan warga pendidik.
- Pemansuhan perekodan kurikulum manual, pemberian autonomi sekolah dan penggabungan maklumat kokurikulum ke dalam sistem PAJSK.
- Pemerkasaan digital melalui kursus pensijilan GCE percuma, projek NODE di kawasan pedalaman dan peruntukan peranti digital ke sekolah.
- Peningkatan kebajikan: peruntukan untuk naik taraf bilik guru dan kuarters, bantuan khas, HLP Khas, beasiswa dan pengurangan sewaan kantin.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan guru dapat memberi lebih tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Antara langkah ke arah pengurangan beban tugas itu termasuk penambahbaikan sistem pengurusan kurikulum di sekolah menerusi pemansuhan sistem perekodan manual.
“Hasrat kita adalah untuk memastikan guru dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada semua ikhtiar pendidikan. Justeru, sistem perekodan kurikulum secara manual dihapuskan dan pihak sekolah diberikan autonomi untuk menguruskan perekodan berkenaan sebelum maklumat kokurikulum murid dimasukkan ke dalam sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini hari ini.
Dalam pada itu, pemerkasaan digital turut diberi perhatian menerusi pelaksanaan kursus pensijilan Google Certified Educator (GCE) Tahap 1 dan Tahap 2 secara percuma kepada semua guru bagi memperkukuh penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Bagi memperluas akses pendidikan digital, Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) memperuntukkan RM1 juta bagi pelaksanaan projek Network Offline Digital Environment (NODE) di kawasan pedalaman dan pulau menerusi Program Sekolah Terintang.
Selain itu, sebanyak RM169 juta diperuntukkan bagi pembekalan peranti digital ke sekolah di seluruh negara.
Aspek kebajikan guru turut diberi perhatian melalui peruntukan tambahan RM100 juta bagi menaik taraf serta menyelenggara bilik guru, selain RM50 juta untuk penyelenggaraan kuarters guru.
Kementerian Pendidikan (KPM) turut menyediakan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Khas kepada guru yang berkhidmat di sekolah rintangan di bawah Program Sekolah Khas (ProKhas), selain peluasan peluang pembangunan profesional kepada pemimpin sekolah melalui pemberian beasiswa peringkat sarjana.
Sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi penyediaan bahan bacaan tambahan di lebih 10,000 kelas prasekolah di seluruh negara, manakala RM122.4 juta disalurkan terus kepada sekolah bagi menyokong pelaksanaan program strategik serta pembangunan murid.
Sebagai penghargaan, kerajaan turut mengumumkan bantuan khas RM1,000 oleh Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) kepada guru yang anak mereka memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2027.
Dalam perkembangan sama, kadar sewaan kantin sekolah dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan pertama bagi membantu pengusaha mengekalkan harga makanan pada kadar berpatutan.