
KUALA LUMPUR, 16 Mei- Penyalahgunaan antibiotik terus menjadi perhatian apabila amalan tidak terkawal itu berisiko menjadikan rawatan jangkitan biasa semakin sukar dikawal akibat kerintangan bakteria.
- Penyalahgunaan antibiotik, termasuk tanpa preskripsi dan tidak menghabiskan dos, menyebabkan kerintangan bakteria.
- Antibiotik hanya untuk jangkitan bakteria, bukan virus; pesakit wajib menghabiskan dos seperti ditetapkan doktor.
- Jangan ambil atau kongsi antibiotik tanpa pemeriksaan doktor, kerana kerintangan meningkatkan keperluan rawatan intensif dan kos.
Ahli Farmasi, Jabatan Farmasi Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur, Nur Alia Shafinaz Abd Latif berkata penggunaan antibiotik tanpa preskripsi doktor serta kegagalan menghabiskan dos rawatan antara punca utama berlakunya kerintangan antibiotik.
Menurut beliau, antibiotik hanya perlu diambil apabila benar-benar diperlukan dan tidak sesuai digunakan untuk merawat jangkitan virus seperti selesema atau batuk biasa.
“Penyalahgunaan antibiotik boleh menyebabkan bakteria dalam badan menjadi lebih kebal. Apabila keadaan ini berlaku, antibiotik yang biasa digunakan tidak lagi berkesan untuk membunuh atau menghalang pembiakan bakteria tersebut. Oleh itu, antibiotik hanya perlu diambil apabila perlu dan pesakit wajib menghabiskan dos rawatan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata, kerintangan antibiotik merupakan isu serius kerana boleh menyebabkan penyakit biasa menjadi lebih sukar dirawat, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi kepada pesakit.
“Kerintangan antibiotik merupakan perkara serius yang tidak boleh dipandang remeh kerana penyakit yang biasanya mudah dirawat boleh menjadi lebih sukar untuk dikawal. Keadaan ini juga boleh menyebabkan pesakit memerlukan rawatan lebih intensif, selain meningkatkan kos rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil antibiotik tanpa pemeriksaan doktor serta mendapatkan nasihat rawatan terlebih dahulu sekiranya mengalami simptom seperti demam, batuk atau selesema.
Beliau turut menegaskan antibiotik tidak boleh dikongsi antara ahli keluarga kerana setiap individu mempunyai tahap ketahanan badan dan keperluan dos yang berbeza.
“Jangan berkongsi antibiotik dengan ahli keluarga kerana setiap individu mempunyai tahap ketahanan badan serta kesesuaian antibiotik yang berbeza,” katanya.
Orang ramai disaran lebih bertanggungjawab dalam penggunaan antibiotik bagi mengelakkan masalah kerintangan antibiotik menjadi lebih serius pada masa depan.