Haji: Johor peruntuk lebih RM1.1 juta untuk Bantuan Kasih Johor

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 21 April – Lebih RM1.1 juta ringgit diperuntukkan kerajaan Johor untuk Bantuan Kasih Johor yang disalur kepada kira-kira 3,800 jemaah haji dari negeri itu tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiap jemaah akan menerima bantuan RM300 secara sekali beri.
  • Penerbangan pergi dan balik rombongan kerajaan negeri ditanggung sebanyak RM8,000.
  • Yayasan Sultan Ibrahim menyumbang pek makanan dan minuman untuk jemaah haji.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setiap jemaah akan menerima bantuan RM300 secara sekali beri.

“Alhamdulillah, rezeki kerajaan negeri bertambah sedikit. Kita salurkan untuk Bantuan Kasih Johor dengan setiap jemaah akan menerima bantuan RM300.

“Bagi rombongan kerajaan negeri pula, penerbangan pergi dan balik ditanggung sebanyak RM8,000,” jelasnya ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Bersama Bakal Haji Rombongan Haji Kerajaan Johor di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Turut disumbangkan, pek makanan dan minuman untuk jemaah haji, melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor.

Kesemua jemaah haji dari Johor akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum ke Jeddah, menerusi lima penerbangan yang akan bermula 7 hingga 9 Mei depan.