Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, KDNK diunjur berkembang 5.3 peratus

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir/BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 April– Malaysia terus mempamerkan ketahanan ekonomi yang teguh meskipun berdepan dengan tekanan krisis bekalan global, apabila beberapa indikator utama ekonomi negara kekal mencatatkan prestasi positif.

RINGKASAN BERITA AI
  • KDNK suku pertama 2026 diunjurkan berkembang 5.3 peratus.
  • Pertumbuhan ini mengatasi beberapa ekonomi serantau termasuk Singapura dan China.
  • Beberapa indikator Mac 2026 belum dimuktamadkan; impak krisis bekalan tiba lewat melalui kos logistik, harga import, pelaburan, sentimen pengguna.
  • Kerajaan menegaskan angka positif tidak bermakna tekanan berakhir; kesan penuh akan dirasai secara berperingkat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun 2026 diunjurkan berkembang sebanyak 5.3 peratus.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan ketara berbanding 4.4 peratus yang dicatatkan pada tahun lalu, sekali gus mengatasi pertumbuhan beberapa ekonomi serantau termasuk Singapura dan China.

“Beberapa indikator bagi Mac 2026 masih belum dimuktamadkan. Impak penuh krisis ini lazimnya akan sampai kepada ekonomi dengan sedikit kelewatan melalui kos logistik, harga import, keputusan pelaburan, dan sentimen pengguna.”

“Maksudnya, walaupun asas kita masih kukuh, namun ruang untuk berasa selesa itu masih belum ada,” kata Akmal pada Taklimat Krisis Bekalan Global oleh Menteri Ekonomi, hari ini.

Tambahnya, meskipun berdepan suasana global yang mencabar, ekonomi Malaysia menunjukkan ketahanan dengan indeks FBM KLCI mencatatkan momentum pertumbuhan berterusan sejak penghujung Mac.

Indeks tersebut mengukuh ke paras 1,702.30 mata minggu ini, meningkat daripada 1,695.21 mata pada 17 April, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa angka-angka positif tersebut tidak bermakna tekanan ekonomi telah berakhir.

Kerajaan menjangkakan impak penuh daripada krisis bekalan global akan dirasai secara berperingkat melalui kos logistik, aktiviti pelaburan, serta sentimen perbelanjaan pengguna.