Salam Baitullah musim ke-18 bawa tema ‘Jihad Yang Terindah’, tampil lebih menarik

Salam Baitullah musim ke-18 bawa tema ‘Jihad Yang Terindah’, dirasmikan pagi ini. Foto RTM

SHAH ALAM, 22 April – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar awam negara dalam menyampaikan mesej dakwah yang relevan dan segar dengan pelancaran program Salam Baitullah musim ke-18 bagi tahun 2026 bertemakan ‘Jihad Yang Terindah’.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tema 'Jihad Yang Terindah' mentafsir jihad sebagai perjalanan batin menuju reda Ilahi.
  • Program musim ke-18 menampilkan pengalaman penyiaran dan kandungan lebih mendalam, menyentuh dan bermakna.
  • 'Salam Baitullah Unplugged' hadir dengan pendekatan segar bersama pempengaruh, selebriti dan tokoh jemputan.
  • Lagu tema rasmi nyanyian Lah Ahmad mempersembahkan karya merakam kerinduan, pengorbanan dan panggilan Ilahi.

Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail, berkata penerbitan musim baharu sempena musim haji 1447H/ 2026, membawa pendekatan kandungan lebih menyentuh jiwa.

“Kejayaan musim lalu yang merekodkan hampir lima juta tontonan keseluruhan merentasi platform televisyen dan digital membuktikan kandungan dakwah yang disampaikan secara berhikmah terus mendapat tempat, termasuk dalam kalangan generasi muda.

“Namun bagi kami di RTM, nilai sebenar bukan terletak pada angka semata-mata, tetapi pada hati yang tersentuh, air mata yang gugur dan niat yang terdetik untuk berubah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Salam Baitullah 2026.

Program tersebut akan bersiaran secara langsung mulai 13 Mei hingga 27 Mei 2026, pada pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam, di TV1.

Melangkaui siaran televisyen, ‘Salam Baitullah Unplugged: Benda Baik Kita Borak’ juga akan bersiaran pada pukul 7:45 malam menampilkan pendekatan lebih segar bersama pempengaruh, selebriti dan tokoh jemputan.

“Buat julung kalinya juga, Salam Baitullah tampil dengan lagu tema rasmi nyanyian Lah Ahmad, selain diperluaskan ke platform digital menerusi Salam Baitullah Unplugged (Podcast) bagi mendekati penonton dengan pendekatan lebih santai, namun tetap berteraskan ilmu dan nilai.

“Dalam usaha memperluaskan capaian kandungan Islam kepada khalayak lebih luas, RTM turut mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penyampaian kandungan musim ini.

“Langkah itu bukan sekadar pembaharuan visual, sebaliknya satu usaha memastikan mesej Islam terus disampaikan dengan cara yang lebih relevan, segar dan dekat dengan audiens semasa,” katanya.

Mengulas tema ‘Jihad Yang Terindah’, beliau menjelaskan ia membawa pengertian jihad yang tidak semestinya terlihat secara fizikal, tetapi dirasai dalam jiwa melalui perjuangan melawan ego, menahan sabar dan terus mencintai Allah dalam setiap keadaan.

“Perjalanan haji bukan berakhir di Mekah, sebaliknya cabaran sebenar bermula apabila jemaah kembali ke tanah air, dengan elemen istiqamah menjadi kunci untuk mengekalkan perubahan dan terus mendekatkan diri kepada Allah,” menurutnya lagi.

Musim ini, Salam Baitullah menampilkan enam segmen utama iaitu Khabar Tanah Suci, Duyufurrahman, Al-Bayan, Rehlah Haramain, Kapsul Haji dan segmen baharu Istiqamah, yang disusun bagi membawa penonton menelusuri perjalanan ibadah haji secara lebih menyeluruh.

Salam Baitullah 2026 secara rasmi dilancarkan dengan slogan ‘Jihad Yang Terindah’, sebagai manifestasi komitmen RTM untuk terus mengangkat kandungan Islam yang mendidik, menyentuh emosi dan membina kesedaran masyarakat.