
KUALA TERENGGANU, 22 April – Seramai 715 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari seluruh Terengganu yang meraih keputusan A penuh menerima penghargaan daripada Yayasan Pendidikan MAIDAM.
- Yayasan Pendidikan MAIDAM memperuntuk lebih RM200,000 melalui dana Tanggungjawab Sosial Korporat untuk penghargaan kecemerlangan SPM.
- MAIDAM menegaskan komitmen memartabatkan pendidikan sebagai cara meningkatkan kualiti hidup keluarga dan mengurangkan kadar kemiskinan.
- Lebih RM70 juta diperuntuk menyokong program pendidikan termasuk lebih 20 skim bantuan kepada asnaf, fakir miskin dan fisabilillah.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata lebih RM200,000 diperuntukkan bagi tujuan itu menerusi dana Tanggungjawab Sosial Korporat Yayasan Pendidikan MAIDAM.
“Platform ini digunakan untuk mewar-warkan kepada orang ramai bahawa MAIDAM dan Yayasan Pendidikan MAIDAM komited memastikan pendidikan menjadi antara cara meningkatkan kualiti hidup sesebuah keluarga melalui pencapaian anak-anak.
“Ini merupakan satu lagi strategi yang digerakkan bagi membantu mengurangkan kadar kemiskinan melalui pendidikan,” katanya.
Program julung kali diadakan itu merupakan tanda pengiktirafan terhadap pencapaian akademik pelajar di negeri berkenaan.
Menurutnya, lebih RM70 juta turut diperuntukkan bagi menyokong pelbagai program dan bantuan pendidikan di Terengganu.
Peruntukan itu merangkumi lebih 20 skim bantuan termasuk kepada golongan asnaf fakir miskin serta fisabilillah.
Rekod menunjukkan lebih 9,000 pelajar menerima manfaat melalui peruntukan fisabilillah tahun lalu, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi akademik dalam kalangan pelajar negeri itu.