PRN Melaka: PH masih teliti kerjasama dengan BN, parti lain

Datuk Seri Amirudin Shari / Foto Fail BERNAMA

SHAH ALAM, 1 Oktober – Pakatan Harapan (PH) masih meneliti kemungkinan menjalin kerjasama dengan parti atau gabungan lain termasuk Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amirudin sedang menimbang pilihan dan perlu memuktamadkan keputusan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat.
  • Beliau sudah mendapatkan pandangan PH Melaka dan mengadakan pertemuan dengan PKR Melaka sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri.
  • Pertemuan dengan BN akan diadakan untuk meneliti ruang kerjasama, jika tiada persefahaman PH akan fokus pada kawasan yang ditandingi.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa pilihan sedang dipertimbang sebelum keputusan dasar dimuktamadkan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat.

Menurutnya, beliau sudah mendapatkan pandangan PH Melaka selain mengadakan pertemuan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka sebagai sebahagian persiapan menghadapi pilihan raya negeri itu.

“Saya dah mendengar pandangan daripada PH Melaka dan saya perlu muktamadkannya kepada Majlis Pimpinan Pusat supaya kita boleh membuat keputusan dasar untuk meneruskan langkah seterusnya.

“Sama ada kita bertanding dengan persefahaman dengan beberapa pihak ataupun kita bertanding dengan fokus kepada kawasan-kawasan kita di samping ada persetujuan daripada pihak-pihak tertentu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, semalam.

Jelasnya lagi, pertemuan dengan BN pula akan diadakan dalam masa terdekat bagi meneliti ruang kerjasama yang boleh diteroka.

“Kita akan cuba melihat peluang kalau ada kemungkinan untuk kerjasama tetapi kalau tak ada pun kita kena juga melengkapkan usaha, paling tidak membuat tawaran yang terbaik kepada rakyat negeri Melaka daripada PH,” katanya.

Datuk Seri Amirudin berkata, sekiranya tiada persefahaman dicapai, PH bersedia memberi tumpuan kepada kawasan yang akan ditandingi gabungan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.