
KUALA LUMPUR, 22 April- Malaysia terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana negara dalam perolehan aset pertahanan termasuk pesawat dengan penekanan kepada pemindahan teknologi dan pembangunan industri tempatan.
- Turkiye menunjukkan kesediaan tinggi untuk bekerjasama membangunkan industri pertahanan Malaysia.
- Pertimbangan utama adalah negara yang mesra dan mempunyai hubungan kepercayaan dengan Malaysia.
- Kerjasama perlu melibatkan pemindahan teknologi bagi mengurangkan kebergantungan serta memperkukuh penyelenggaraan, pembuatan dan inovasi pertahanan tempatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Turkiye merupakan antara negara yang menunjukkan kesediaan tinggi untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan industri pertahanan.
“Pertimbangan utama adalah kepada negara yang mesra serta mempunyai hubungan kepercayaan dengan Malaysia.
“Setiap negara yang bersedia memindahkan teknologi dan bekerjasama bagi menyumbang kepada perkembangan industri pertahanan tempatan, maka Malaysia akan mempertimbangkan untuk memperoleh aset daripada negara tersebut,” katanya.
Pendekatan itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dalam jangka panjang, di samping memperkukuh keupayaan domestik merangkumi penyelenggaraan, pembuatan dan inovasi teknologi pertahanan.
Datuk Seri Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penandatanganan Kontrak dan Program Kolaborasi Industri di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.