
PUTRAJAYA, 22 April– Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diarahkan mengemukakan laporan kemajuan secara mingguan kepada Kementerian Pengangkutan susulan isu gangguan sistem pengendalian bagasi (BHS) di KLIA Terminal 1, pada Sabtu lalu.
- MAHB akan menambah bilangan petugas di kawasan ketibaan dan lokasi kritikal sebagai langkah mitigasi segera.
- Gangguan BHS menyebabkan kelewatan pengendalian bagasi dua hingga empat jam; gangguan berlarutan kira-kira lima jam sebelum dipulihkan.
- Menteri Pengangkutan mengarahkan mesyuarat tergempar untuk semak SOP, fokus pada masa tindak balas, komunikasi penumpang dan protokol kontingensi.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata MAHB akan melaksanakan beberapa langkah mitigasi segera, termasuk menambah bilangan petugas di kawasan ketibaan serta lokasi-lokasi kritikal yang telah dikenal pasti.
Langkah tersebut bertujuan mengurangkan risiko gangguan operasi seumpama itu daripada berulang.
“Laporan daripada Menteri Pengangkutan memaklumkan bahawa gangguan tersebut berlarutan selama kira-kira lima jam sebelum berjaya dipulihkan sepenuhnya pada pukul 10.30 malam.”
“‘Susulan itu, pihak MAHB akan melaksanakan beberapa langkah segera, termasuk menambah bilangan petugas di kawasan ketibaan serta lokasi-lokasi kritikal yang telah dikenal pasti. Selain itu, MAHB juga dikehendaki mengemukakan laporan kemajuan secara mingguan kepada Kementerian Pengangkutan untuk makluman lanjut kepada Jemaah Menteri,” kata Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan sistem pengendalian bagasi (BHS) di KLIA Terminal 1 mengalami gangguan, yang menyebabkan kelewatan pengendalian bagasi antara dua hingga empat jam melibatkan sejumlah besar penumpang yang tiba pada 18 April lalu.
Susulan itu, Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke telah mengarahkan Ketua Setiausaha MOT untuk mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi berkaitan bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) pengurusan gangguan di lapangan terbang.
Semakan itu akan memberi tumpuan kepada masa tindak balas, komunikasi kepada penumpang serta protokol pelan kontingensi.