
PUTRAJAYA, 22 April– Kerajaan sedang meneliti secara mendalam isu gangguan rantaian bekalan bahan petrokimia susulan penutupan Selat Hormuz yang memberi impak kepada pasaran global.
- Isu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
- Kementerian Ekonomi dan MITI sedang menjalankan penelitian lanjut.
- ABM mengumumkan PKS dan PMKS boleh berurusan terus dengan bank komersial untuk kelonggaran instrumen kewangan.
- MTEN dijangka membincangkan kuota BUDI RON95 untuk pengamal media serta permohonan sektor kreatif Kementerian Komunikasi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa (21 April).
Buat masa ini, penelitian lanjut sedang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Dalam mesyuarat minggu hadapan, beberapa dapatan ini akan dibincangkan semula. Pihak kerajaan cakna dan prihatin terhadap kesan gangguan rantaian bekalan akibat penutupan Selat Hormuz, terutama melibatkan hasil petrokimia seperti plastik, ammonia, urea, helium dan beberapa produk asas lain yang memberi impak kepada pelbagai sektor. Setakat perbincangan pada Selasa (21 April), beberapa penelitian tambahan perlu dilakukan oleh pihak kerajaan.”
“Salah satu langkah awal termasuklah pengumuman oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) supaya mana-mana syarikat PKS atau PMKS yang mempunyai kesukaran melibatkan instrumen kewangan, boleh berurusan terus dengan bank komersial bagi mendapatkan kelonggaran,” kata Datuk Fahmi pada sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Tambahnya, langkah berkenaan bertujuan memastikan kelangsungan operasi industri, terutama sektor pembuatan dan pembungkusan makanan, agar tidak terjejas sekiranya gangguan bekalan bahan mentah berterusan.
Dalam perkembangan lain, Datuk Fahmi memaklumkan permohonan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) berhubung kuota 300 liter BUDI RON95 untuk pengamal media kini dalam pengetahuan MTEN dan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.
Selain itu, beliau turut meminta agar isu-isu berkaitan Kementerian Komunikasi, termasuk permohonan daripada sektor industri kreatif, diberi perhatian dalam pertimbangan ekonomi negara.