PM gesa bantuan RM1,800 disalur segera kepada mangsa kebakaran Sandakan

Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau kawasan kebakaran melibatkan sekitar 1,000 rumah dalam kejadian Ahad lalu/ RTM

SANDAKAN, 22 April- Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan berjumlah RM1,500 kepada 300 keluarga terjejas dalam kebakaran di Kampung Bahagia Batu Sapi, di sini, melibatkan peruntukan keseluruhan RM450,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri gesa bantuan disalurkan segera tanpa penangguhan bagi memastikan kebajikan keluarga terjejas terjamin.
  • Bantuan terdiri daripada NADMA, Unit Penyelarasan Pelaksanaan JPM dan Kementerian Pendidikan bagi meringankan beban mangsa.
  • Kerajaan utamakan keselamatan dan kebajikan mangsa; penguatkuasaan undang-undang tidak diprioritikan untuk kumpulan belum mendaftar.
  • Perhatian juga diberikan kepada pendidikan anak mangsa; JKM akan menyegerakan bantuan pakaian seragam dan kelonggaran kehadiran sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebagai usaha meringankan beban mangsa.

Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyalurkan bantuan RM300 kepada 454 pelajar yang terkesan dengan kejadian itu, melibatkan peruntukan berjumlah RM136,200.

Beliau menegaskan bantuan berkenaan perlu disalurkan segera tanpa penangguhan bagi memastikan kebajikan keluarga dan pelajar terlibat terus terjamin.

“Bantuan ini diberikan kepada semua keluarga terlibat. Kita faham ada sebahagian yang tidak mendaftar kerana kebimbangan tertentu, namun keutamaan kerajaan ketika ini adalah keselamatan dan kebajikan mereka,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan akan memastikan semua mangsa menerima bantuan sewajarnya, selain menasihati mereka agar mengikuti proses pendaftaran seperti ditetapkan dalam jangka panjang.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Anwar turut meminta perhatian diberikan terhadap pendidikan anak-anak mangsa bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pembelajaran.

“Saya dimaklumkan ada murid tidak hadir ke sekolah kerana ketiadaan pakaian seragam. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyegerakan bantuan keperluan itu, namun sementara itu mereka perlu hadir ke sekolah dan kelonggaran akan diberikan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri meninjau kawasan kebakaran yang memusnahkan kira-kira empat hektar penempatan, melibatkan sekitar 1,000 rumah serta menjejaskan lebih 9,000 penduduk dalam kejadian Ahad lalu.

Beliau turut meluangkan masa menyantuni mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, di sini.

Turut serta, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.