Kerajaan tidak berpeluk tubuh hadapi krisis global, utamakan kepentingan rakyat – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi National Gas Company SAOG Oman, Sh Abdulla Suleiman Hamed Al Harthy / Foto Pejabat Perdana Menteri Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 April – Kerajaan menegaskan tidak akan berpeluk tubuh dalam mendepani krisis bekalan global yang semakin kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah kerajaan terarah dan berpaksikan kepentingan rakyat.
  • Memastikan Malaysia bersedia, berdaya tahan dan kurang terdedah kepada kejutan bekalan tenaga.
  • MADANI mengukuhkan kerjasama strategik dengan rakan dipercayai seperti Oman demi keselamatan bekalan rakyat.
  • Perluasan perdagangan minyak dan LNG sebagai langkah strategik untuk menstabilkan bekalan dan kurangkan beban kos kepada rakyat serta perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di laman X hari ini berkata, setiap langkah yang diambil kerajaan adalah terarah dan berpaksikan kepada kepentingan rakyat.

Pada masa sama, beliau berkata, langkah itu juga memastikan Malaysia kekal bersedia, berdaya tahan serta tidak terdedah kepada kejutan bekalan tenaga.

“Dalam keadaan geopolitik Asia Barat yang kian meruncing dan tidak menentu, Kerajaan MADANI bertindak lebih awal dan berwaspada dengan mengukuhkan jaringan kerjasama bersama rakan yang diyakini seperti Oman demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa dilindungi,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar menerima kunjungan hormat Pengerusi National Gas Company SAOG Oman, Sh Abdulla Suleiman Hamed Al Harthy bagi memperkukuh kerjasama strategik selain meneroka peluang pelaburan baharu yang mampu menjamin kestabilan bekalan tenaga negara.

Beliau berkata, langkah memperluas kerjasama perdagangan minyak dan LNG ini bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan rantaian bekalan tenaga negara kekal stabil, sekali gus mengelakkan tekanan kos yang boleh membebankan rakyat dan perniagaan.