
KUALA LUMPUR, 21 APRIL – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan kadar deposit cagaran bagi penganjuran konsert, pertunjukan pentas serta acara kebudayaan, berkuat kuasa 1 Mei ini.
- DBKL menurunkan kadar deposit cagaran bagi konsert, pertunjukan pentas dan acara kebudayaan berkuat kuasa 1 Mei.
- Kategori dibahagikan kepada artis tempatan dan artis luar negara dengan kadar cagaran berbeza.
- Artis tempatan: pertunjukan pentas atau acara kebudayaan dari RM10,000 kepada RM4,000; konsert kekal RM10,000.
- Artis luar negara: pertunjukan pentas dan acara kebudayaan dikurangkan kepada RM8,000; konsert diturunkan kepada RM15,000.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu dilaksanakan bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia yang dilanjutkan hingga 2027.Kadar baharu cagaran tersebut dibahagikan kepada dua kategori, iaitu artis tempatan dan artis luar negara.
“Jadi ada dua kategori, bagi artis tempatan, untuk pertunjukan pentas atau acara kebudayaan, kadar cagaran diturunkan daripada RM10,000 kepada
RM4,000. Manakala bagi penganjuran konsert, kadar cagaran kekal pada RM10,000.
“Bagi artis luar negara pula, cagaran untuk pertunjukan pentas dan acara kebudayaan dikurangkan daripada RM30,000 kepada RM8,000. Sementara itu, bagi penganjuran konsert, kadar cagaran diturunkan daripada RM30,000 kepada RM15,000.
“Perbezaan antara konsert dan pertunjukan pentas adalah dari segi penjualan tiket. Konsert lazimnya melibatkan penjualan tiket, manakala pertunjukan pentas atau acara kebudayaan ada kalanya tidak melibatkan jualan tiket,” katanya selepas merasmikan Majlis Makan Malam Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE).