
SHAH ALAM, 1 September – Golongan belia luar bandar diseru untuk menceburi bidang bernilai tinggi, sebagai usaha memastikan tenaga mahir berkemahiran dapat dilahirkan selaras dengan keperluan industri.
- Perkembangan AI, automasi dan teknologi menuntut belia memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan industri masa kini.
- Kelayakan akademik sahaja tidak mencukupi, belia perlu mengasah kemahiran praktikal dan kompetensi untuk kekal relevan.
- Belia digesa keluar zon selesa untuk memperkukuh kemahiran, pengalaman dan jaringan supaya industri mencari serta merebut bakat mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata, perubahan pesat dunia semasa menerusi perkembangan Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan teknologi menuntut golongan ini memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan semasa.
Tambahnya, kelayakan akademik sahaja tidak lagi mencukupi untuk memastikan belia kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.
“Saya percaya anak-anak desa boleh berada dalam pelbagai sektor. mereka boleh menjadi juruteknik, semi konduktor, pembangun perisian, operator dron, pereka digital, pakar tenaga hijau, jurutera automasi ataupun usahawan teknologi .
“Kita tidak mahu sekadar melahirkan graduan yang mencari pekerjaan. kita mahu melahirkan tenaga mahir yang mempunyai kompetensi sehingga industri sendiri mencari dan merebut bakat mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Belia Desa 2026, disini.
Pada masa sama, belia desa turut di saran keluar dari zon selesa untuk mencabar potensi diri bagi memperkukuh kemahiran, pengalaman serta jaringan mereka.