
KUALA LUMPUR, 11 Mei- Dua pengarah syarikat termasuk tokoh kewangan Islam, Tan Sri Mohd. Daud Bakar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan pecah amanah, tiga tahun lepas.
- Pertuduhan membabitkan wang RM10.55 juta milik beberapa individu dan syarikat perdagangan.
- Kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen.
- Wang didakwa disalahgunakan melanggar Shareholder’s Advance Agreement berkaitan pembuatan sarung tangan patuh syariah antara 2021 hingga 2024.
- Mahkamah benarkan ikat jamin RM100,000; syarat lapor bulanan SPRM, serah pasport, larangan ganggu saksi; sebutan 19 Jun.
Pertuduhan tersebut membabitkan wang berjumlah RM10.55 juta milik beberapa individu dan syarikat perdagangan.
Tan Sri Mohd. Daud, 62 tahun yang juga Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dan rakan kongsinya, Datuk Norliza Tajudin, 54 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, mereka didakwa secara bersama-sama sebagai pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn Bhd melakukan pecah amanah wang berjumlah RM400,000, RM500,000, RM900,000, RM2 juta, RM550,000, RM6 juta dan RM200,000 milik beberapa individu serta syarikat berlainan.
Antaranya melibatkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Moideen Kunjayu, Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad dan Myad Kapital Sdn Bhd.
Pendakwaan mendakwa mereka menggunakan wang berkenaan secara melanggar kontrak nyata yang dimeterai antara Energy Eco Sdn. Bhd. dengan individu serta syarikat terbabit.
Kontrak berkenaan melibatkan Shareholder’s Advance Agreement bertarikh 22 Jun 2021, 19 Januari 2022, 1 April 2022, 27 April 2022, 6 Disember 2022, 5 April 2023 dan 12 Mei 2024 berkaitan perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua bank di Taman Setiawangsa dan Jalan Maarof, Bangsar antara 22 Jun 2021 hingga 12 Mei 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.
Hakim turut memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula ke ditetapkan 19 Jun depan,
Februari lalu, Tan Sri Mohd. Daud turut didakwa di Mahkamah Sesyen lain atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen sah dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.