
MEKAH, 12 Mei – Tiada kes penggunaan visa palsu membabitkan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci setakat ini.
- Kawalan dan pemantauan dokumentasi jemaah dilaksanakan bagi memastikan urusan kemasukan lancar serta mematuhi peraturan Arab Saudi.
- Peringatan kepada rakyat supaya tidak mudah terpedaya tawaran pakej haji daripada pihak tertentu menjelang Hari Wukuf.
- Hanya pemegang visa haji sah dibenarkan di Tanah Haram; visa lawatan, pelancongan, pekerjaan atau pelajar tidak dibenarkan, tindakan undang-undang mungkin dikenakan.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata kawalan serta pemantauan ketat terhadap dokumentasi jemaah sentiasa dilaksanakan.
Katanya, langkah itu membantu memastikan urusan kemasukan berjalan lancar dan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.
Beliau bagaimanapun mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej haji tertentu menjelang Hari Wukuf yang dijangka pada 26 Mei ini.
“Kita faham ada segelintir masyarakat yang terdesak untuk menunaikan haji dan dalam keadaan itu mungkin ada pihak tertentu mengambil kesempatan menawarkan pelbagai pakej haji.
“Namun, kita ingin tegaskan bahawa hanya individu yang mempunyai visa haji sah sahaja dibenarkan berada di Tanah Haram dan mengerjakan ibadah haji,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan Arab Saudi telah memberikan peringatan tegas bahawa individu yang menggunakan visa selain visa haji seperti visa lawatan, pelancongan, pekerjaan atau pelajar tidak dibenarkan memasuki kawasan Mekah khususnya di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya individu terbabit ditangkap dan didapati bersalah.