
DUNGUN, 11 Mei – Seorang lelaki direman tujuh hari hingga Ahad selepas disyaki mendera anak lelaki tirinya yang berusia lima tahun sejak sebulan lalu di Kampung Besol Baru di sini.
- Suspek berusia 38 tahun ditahan pada pukul 5.50 petang susulan laporan polis ibu.
- Ibu mendapati kesan melecur pada 7 April, mangsa berkata jari dibakar menggunakan pemetik api.
- Mangsa mendakwa pernah dicekik dan dipijak pada perut oleh suspek ketika ibu tiada di rumah.
- Suspek tiada rekod jenayah lampau, ujian air kencing negatif dan telah berkahwin dengan ibu mangsa hampir tiga tahun.
Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Majistret Dungun, Nur Amirah Fatihah Osman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, DSP Jumaidy Bah Chong Weh mengesahkan, suspek yang berusia 38 tahun ditahan pada pukul 5.50 petang semalam (Ahad), susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa.
Ibu mangsa menyedari kesan melecur pada jari anaknya pada 7 April lepas, sebelum mangsa memaklumkan kecederaan itu akibat perbuatan suspek dengan menggunakan pemetik api.
Tindakan suspek membakar jari mangsa kononnya bertujuan mengajar mangsa yang dikatakan terlalu nakal dan degil.
Mangsa juga mendakwa pernah dicekik dan dipijak pada bahagian perut oleh suspek ketika ibunya tiada di rumah ketika keluar berniaga.
Siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencingnya negatif dadah.
Suspek telah berkahwin dengan ibu mangsa selama hampir tiga tahun.