Bekas pembantu khas Teresa Kok didakwa terima suapan RM500,000

Edmund Teoh Kheng Yaik, kanan didakwa terima suapan RM500,000 / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Bekas pembantu khas kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menipu dan menerima suapan RM500,000 berkaitan perolehan papan pintar interaktif untuk sekolah, dua tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
  • Didakwa memperdayakan Ahli Parlimen, menyatakan hanya dua sekolah memohon sedangkan 16 sekolah berbuat demikian; permohonan diluluskan melalui My-Khas.
  • Didakwa menerima wang tunai daripada Ainuddin untuk membantu pembekalan papan pintar menerusi syarikat TMT IT Solutions milik isteri.
  • Mahkamah benarkan ikat jamin RM60,000 seorang penjamin; pasport diserahkan; perlu lapor diri SPRM setiap bulan; tidak ganggu saksi.

Tertuduh, Edmund Teoh Kheng Yaik, 40 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Bagi pertuduhan pertama, Edmund didakwa memperdayakan Ahli Parlimen itu dengan sengaja menyatakan hanya dua buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Seputeh membuat permohonan sumbangan papan pintar interaktif, sedangkan sebenarnya terdapat 16 sekolah yang berbuat demikian.

Perbuatan itu mendorong Ahli Parlimen berkenaan meluluskan permohonan sumbangan melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh, Jalan Kuchai Lama pada Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM500,000 daripada Ainuddin Aminuddin sebagai upah membantu mendapatkan sumbangan pembekalan papan pintar interaktif serta peralatan berkaitan untuk 16 sekolah berkenaan menerusi syarikat TMT IT Solutions milik isteri individu terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Kuchai Lama pada 12 Ogos 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam, MN Lo.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga perlu melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Julai depan.