
IPOH, 11 Mei – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas yang ditemukan maut dengan beberapa kesan tetakan di kediamannya di Menglembu, minggu lalu.
- Tertuduh Foon Choon Kheong, 53, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.
- Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
- Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan; hukuman termasuk mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali.
- Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 3 Ogos sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Tertuduh, Foon Choon Kheong, 53, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. S. Evangelin.
Namun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Woo Chui Fun, 70 tahun, yang juga merupakan jirannya di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman Menglembu, antara pukul 4.40 petang hingga 10 malam pada 4 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan, mangsa ditemukan meninggal dunia di kediamannya dengan kesan tetakan pada bahagian badan, kepala dan leher.
Polis turut menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu di lokasi kejadian.
Siasatan awal juga mendapati suspek pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan pada Februari lalu.