KPDN Kedah tahan dua lelaki, rampas petrol disyaki diseludup bernilai RM26,824

Dua kenderaan diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan

PADANG TERAP, 11 Mei – Cubaan dua lelaki tempatan untuk menyeludup petrol RON95 ke negara jiran berjaya digagalkan dalam operasi penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di laluan keluar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung, dekat sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua kenderaan diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan dipercayai digunakan membawa petrol secara haram.
  • Pemeriksaan menemukan cecair disyaki petrol, dianggarkan 100 liter dalam satu kenderaan dan 130 liter dalam satu lagi.
  • Kedua-dua pemandu ditahan bagi membantu siasatan, kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil.
  • Nilai rampasan termasuk kenderaan dan petrol dianggarkan RM26,824; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

KPDN Kedah dalam kenyataan memaklumkan, dua kenderaan iaitu Toyota Camry dan Proton Iswara yang dipandu lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan tersebut telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan yang dipercayai digunakan untuk membawa petrol secara haram ke luar negara.

“Hasil pemeriksaan menemukan cecair disyaki petrol dianggarkan sebanyak 100 liter dalam sebuah kenderaan dan 130 liter dalam sebuah lagi kenderaan,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, kedua-dua pemandu ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan selesai diambil.

Menurut KPDN Kedah, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan minyak petrol dianggarkan berjumlah RM26,824.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

KPDN Kedah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan menyeleweng subsidi kerajaan demi keuntungan peribadi.

“Tindakan tegas akan terus dilaksanakan bagi memastikan ketirisan subsidi negara dapat dibanteras sepenuhnya,” menurut kenyataan itu lagi.

KPDN Kedah turut menggesa semua pihak termasuk pengguna, peniaga, pemain industri dan organisasi berkaitan supaya bersama-sama menyokong gerakan KITA GEMPUR (Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan) dalam usaha memerangi aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang bersubsidi demi kepentingan rakyat dan negara.