Op Sapu : 44 pendatang asing ditahan

Foto ihsan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah

JITRA, 11 Mei – Seramai 44 warga asing ditahan dalam Op Sapu di tapak pembinaan projek bangunan perniagaan di Bandar Darulaman, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Unit Tindakan Imigresen menahan warga asing atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan berkaitan.
  • Kesalahan termasuk tinggal lebih masa, salah guna pas dan tiada dokumen perjalanan yang sah.
  • Kesemua tahanan dihantar ke Depot Imigresen Belantik untuk tindakan lanjut.
  • Operasi penguatkuasaan negeri akan dipergiat di kawasan berisiko untuk pastikan pematuhan undang-undang imigresen.

Menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah, seramai 47 individu telah diperiksa terdiri daripada tiga warga tempatan dan 44 warga asing.

“Pemeriksaan lanjut oleh Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguatkuasa membawa kepada penahanan kesemua warga asing atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen,” menurut kenyataan JIM.

Antara kesalahan dilakukan termasuk tinggal lebih masa, salah guna pas dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Tangkapan melibatkan 39 warga Bangladesh, empat warga Indonesia dan seorang warga India.

Kesemuanya berusia antara 22 hingga 44 tahun telah dihantar ke Depot Imigresen Belantik untuk tindakan lanjut.

“Operasi penguatkuasaan di seluruh negeri khususnya di kawasan berisiko akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras
kehadiran pendatang asing tanpa izin,” menurut kenyataan itu lagi.