SMA AL-Maahadul Ismail Tasek Junjong dilanda banjir

Paras air banjir dianggarkan setinggi 0.3 meter, 73 pelajar berada dalam keadaan selamat. Foto JBPM

NIBONG TEBAL, 11 Mei – Seramai 73 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maahadul Islami Tasek Junjong, Simpang Ampat, di sini, terjejas selepas kawasan sekolah berkenaan dinaiki air susulan hujan lebat, lewat petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh anggota dan dua jentera Balai Bomba Bukit Mertajam digerakkan selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.48 malam.
  • Hujan lebat menaikkan paras sungai menyebabkan banjir kilat di sekolah; paras air dianggarkan setinggi 0.3 meter.
  • Keadaan terkawal dan air surut sepenuhnya pada 9.30 malam.
  • Pelajar asrama dilapor selamat; pihak sekolah menghubungi keluarga supaya pelajar dibawa pulang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.48 malam.

Beliau berkata kejadian berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan paras sungai meningkat sehingga mengakibatkan banjir kilat di kawasan sekolah berkenaan dengan paras air dianggarkan setinggi 0.3 meter.

“Keadaan didapati terkawal dan air surut sepenuhnya pada 9.30 malam,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

John berkata semua pelajar terbabit terdiri daripada 39 perempuan dan 34 lelaki yang menetap di asrama sekolah serta berada dalam keadaan selamat.

Katanya pihak sekolah turut menghubungi keluarga para pelajar bagi membolehkan mereka dibawa pulang.