
KUALA LUMPUR, 27 November – Aspek keselamatan siber perlu diberi penekanan dalam pelaksanaan Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026–2030 seiring perubahan landskap ancaman keselamatan semasa.
- Ancaman siber boleh menjejaskan infrastruktur kritikal negara, termasuk bekalan elektrik, air, telekomunikasi, perbankan, pengangkutan dan perkhidmatan kesihatan.
- Kemajuan AI, sistem autonomi, dron dan pengkomputeran kuantum mewujudkan ancaman baharu yang memerlukan penelitian berterusan.
- Strategi pelaksanaan dasar perlu fleksibel, dikaji berkala serta mengutamakan keupayaan menjangka, mengesan dan mencegah ancaman lebih awal.
Pakar Keselamatan Siber, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Ts. Dr. Nur Izura Udzir berkata, ancaman moden pada masa kini merangkumi serangan siber, manipulasi maklumat, propaganda serta pengintipan siber yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
“Dalam Dasar Keselamatan Negara 2026–2030 tersebut, ia bukan hanya menumpukan kepada keselamatan fizikal tetapi juga perlu dilihat keselamatan siber juga yang juga satu aspek yang signifikan dalam memastikan keselamatan, kestabilan negara.
“Ancaman siber boleh memberi kesan kepada infrastruktur kritikal negara seperti sistem bekalan elektrik, air, telekomunikasi, sistem perbankan, pengangkutan dan perkhidmatan kesihatan,” katanya ketika dihubungi pemberita RTM.
Tambahnya, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi, dron dan pengkomputeran kuantum turut mewujudkan bentuk ancaman baharu yang memerlukan penelitian berterusan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dasar berkenaan dikaji secara berkala sebagai langkah penting bagi menilai keberkesanan pelaksanaannya serta mengenal pasti kelemahan.
“Sekiranya dasar kita ini tidak dikaji secara berkala, dibimbangi ia tidak dapat melihat ataupun menangani ancaman-ancaman baharu yang muncul setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Ketua Laboratori Generasi Siber, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Syafila Kamarudin berpandangan strategi pelaksanaan DKN perlu kekal fleksibel dan dikaji bagi memastikan keberkesanannya dalam menghadapi perubahan landskap ancaman keselamatan.
Menurutnya, kemajuan teknologi menuntut pendekatan keselamatan lebih responsif bagi menangani ancaman keselamatan yang dinamik.
“Kerangka dasar lima tahun boleh dikekalkan, tetapi strategi pelaksanaannya perlu fleksibel mengikut perkembangan semasa. Jadi dalam soal keselamatan negara, kita tidak boleh hanya bertindak selepas ancaman berlaku, kita perlu mempunyai keupayaan untuk menjangka, mengesan dan juga mencegah ancaman dengan lebih awal,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata ancaman siber bukan sekadar melibatkan keselamatan sistem dan data, malah turut memberi implikasi terhadap kestabilan sosial, ekonomi dan kedaulatan negara.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar ketika berucap pada Majlis Peluncuran DKN 2026–2030 semalam berkata, dasar berkenaan perlu dikaji dari semasa ke semasa meskipun digubal untuk tempoh lima tahun, susulan cabaran keselamatan negara yang semakin kompleks dan canggih.