
KUALA LUMPUR, 27 November – Dua pesara tentera mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu dan memalsukan dokumen pesanan kerajaan membabitkan tawaran kontrak serta tender Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi projek mengecat 85 kenderaan berperisai dan pembekalan peralatan yang menyebabkan kerugian RM1.28 juta.
- Rosle Mat Isa dan Muhammad Syazwan Steve didakwa menipu Pak Chee Hwa sehingga menyerahkan RM200,000 bagi projek mengecat kenderaan berperisai.
- Mereka didakwa memperdaya Bahari Tahir menyerahkan RM780,000 untuk kontrak pembekalan cat, peralatan dewan dan khemah.
- Mereka turut didakwa menipu Borhan Mohd Doya sehingga menyerahkan RM300,000 bagi tender pembekalan peralatan dan persiapan majlis.
- Kesalahan melibatkan pemalsuan dokumen pesanan kerajaan; mahkamah menetapkan jaminan RM100,000 setiap seorang dan sebutan semula pada 18 Disember.
Mejar (B) Rosle Mat Isa, 54, dan bekas pegawai waran Muhammad Syazwan Steve Abdullah, 45, membuat pengakuan itu selepas kesemua enam pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad, Rosli Ahmad dan Azrul Darus.
Di hadapan Muhammad Ilmami, mereka didakwa secara bersama menipu Pak Chee Hwa, 59, sehingga mangsa mempercayai tawaran projek mengecat 85 kenderaan berperisai melalui pesanan kerajaan bernilai RM400,000 adalah tulen, sedangkan ia palsu, lalu mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM200,000 kepada Muhammad Syazwan Steve sebagai modal projek.
Kedua-dua tertuduh turut didakwa secara bersama memalsukan dokumen pesanan kerajaan bagi projek yang sama untuk tujuan menipu Pak dalam urusan tawaran berkenaan.
Di hadapan Rosli pula, mereka didakwa secara bersama menipu Bahari Tahir, 78, agar mempercayai tawaran kontrak MINDEF bagi pembekalan cat untuk 85 kenderaan berperisai serta peralatan dewan dan khemah adalah tulen, sedangkan tawaran itu palsu, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM780,000 kepada kedua-dua tertuduh.
Rosle dan Muhammad Syazwan Steve juga didakwa bersama-sama memalsukan dokumen pesanan kerajaan bagi urusan tawaran kontrak tersebut dengan niat untuk menipu Bahari.
Sementara itu, di hadapan Azrul, kedua-duanya didakwa secara bersama menipu Borhan Mohd Doya, 55, dengan memperdaya mangsa supaya mempercayai tawaran tender MINDEF bagi pembekalan peralatan dan kerja-kerja persiapan majlis di Kem Perdana Sungai Besi melalui pesanan kerajaan bernilai RM565,050 adalah tulen, sedangkan ia palsu, lalu mendorong Borhan menyerahkan wang tunai RM300,000 kepada Rosle menerusi dua transaksi sebagai modal tender.
Mereka turut didakwa bersama-sama memalsukan dokumen pesanan kerajaan dalam urusan tawaran kontrak sama bagi maksud menipu Borhan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kuartermaster Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini pada April 2019 dan 22 Ogos 2019.
Pertuduhan menipu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan dan denda, manakala kesalahan memalsukan dokumen di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman, Batrisyia Mohd Khusri dan Izzat Amir Idham masing-masing mencadangkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan memandangkan jumlah kerugian yang besar dalam kes berkenaan.
Peguam Lee Soo Bang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Muhammad Syazwan Steve memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya merupakan pesara tentera yang menanggung keluarga serta empat anak berusia antara 11 hingga 19 tahun.
“Anak guam saya kini berniaga dengan pendapatan RM2,000 sebulan, selain menjaga ibunya yang menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi, dan tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, Rosle yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan jaminan rendah kerana tidak bekerja serta perlu menanggung enam anak dan seorang isteri yang menghidap kencing manis serta kanser payudara.
“Saya mempunyai dua anak Orang Kurang Upaya (OKU) autistik dan dua lagi masih menuntut di universiti. Saya juga tidak akan melarikan diri kerana sentiasa memberikan kerjasama,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah, selain menetapkan 18 Dis ini untuk sebutan semula kes. -BERNAMA