
GEORGE TOWN, 10 Mei – Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar garisan panduan berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
- Beberapa laporan polis dibuat terhadap individu yang mempersoalkan perkenan Sultan Selangor mengenai larangan penternakan babi.
- Orang yang cuba meraih keuntungan politik atau peribadi berdepan tindakan undang-undang.
- Kenyataan itu disampaikan selepas pelancaran Taman Angkat Amanita di Universiti Sains Malaysia.
- Sultan Selangor berkata penternakan babi tidak sesuai kerana risiko pencemaran tanah, udara dan sumber air.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setakat ini beberapa laporan polis dibuat terhadap beberapa individu yang mempersoalkan perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kekal tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri tersebut.
Beliau menjelaskan, percubaan mana-mana pihak yang cuba meraih haba politik atau peribadi bakal berdepan dengan undang-undang.
“Untuk kes ini sudah ada laporan polis, kita tidak ambil kira siapa dan latar belakang, perkara ini saya sudah cakap daripada dulu lagi.
“Saya tidka akan bertolak ansur mana-mana individu, atau mana-mana pihak daripada mana-mana parti, mana-mana golongan, mana-mana agama yang terlibat melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Taman Angkat Amanita di
Universiti Sains Malaysia(USM).
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah keputusan itu diambil setelah menilai risiko pencemaran tanah, udara serta sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.
Baginda juga bertitah bahawa penternakan babi berskala besar atau kecil tidak sesuai dijalankan di negeri itu.