
MARANG, 10 Mei – Sebanyak 42,894 pemeriksaan dilaksanakan menerusi Op Tiris 4.0 di seluruh negara sejak 16 Mac hingga 9 Mei lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak 556 kes direkodkan membabitkan rampasan bernilai lebih RM23 juta.
- Kes tertinggi melibatkan penyelewengan diesel, diikuti petrol dan LPG.
- Kejayaan operasi hasil kerjasama strategik KPDN dengan PGA, PPM dan PDRM.
- Op Tiris 4.0 diwujudkan susulan keputusan Jemaah Menteri untuk memperkukuh usaha membanteras penyelewengan barang bersubsidi.
- Isu utama termasuk pencatutan, manipulasi harga, transaksi dalam talian dan penyelewengan bahan api; negeri sempadan catat kes tinggi.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, kes tertinggi melibatkan penyelewengan diesel, diikuti petrol dan gas petroleum cecair (LPG).
Menurut beliau, kejayaan itu hasil kerjasama strategik pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi penyelarasan operasi di bawah Op Tiris 4.0.
“Daripada 42,894 pemeriksaan tersebut, tindakan kes yang telah dihasilkan oleh pihak KPDN dan juga agensi-agensi sahabat yang lain adalah sebanyak 556 kes melibatkan jumlah rampasan keseluruhan melebihi RM23 juta.
“Daripada 556 kes tersebut, kes paling tinggi melibatkan diesel iaitu sebanyak 249 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN Peringkat Negeri Terengganu Ke-54 di Pangkalan Unit 6, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Wakaf Tapai, di sini.
Operasi bersepadu itu diwujudkan hasil keputusan Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu bagi memperkukuh usaha membanteras penyelewengan dan ketirisan barang bersubsidi di negara ini.
Antara isu utama yang terus diberi perhatian termasuk pencatutan, manipulasi harga, transaksi dalam talian serta penyelewengan diesel, petrol dan LPG.
Menurut Datuk Azman, negeri sempadan seperti Sarawak, Sabah, Johor dan Kelantan merekodkan jumlah kes tertinggi membabitkan penyelewengan bahan api bersubsidi.
Sementara itu, di Terengganu, sebanyak 1,433 pemeriksaan dijalankan dengan 11 tindakan kes direkodkan membabitkan rampasan bernilai RM211,000.