
TAPAH, 31 Mei – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Salidun di Gunung Batu Putih diteruskan hari ini, dengan tumpuan turut diberikan kepada semakan rakaman kamera pengawasan Jabatan Perhilitan di beberapa lokasi laluan pendakian.
- Semakan rakaman di Bukit Berapit 2 tidak menunjukkan imej atau pergerakan mangsa.
- Pasukan SAR bersama Jabatan Perhilitan digerakkan ke Gunung Rayu untuk mendapatkan kad memori bagi semakan lanjut.
- Rakaman kamera hidupan liar merekodkan mangsa melintasi kamera 11.22 pagi 24 Mei; tiada rakaman menunjukkan mangsa berpatah balik.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, semakan pada tengah hari tadi mendapati rakaman di kawasan Bukit Berapit 2 tidak menunjukkan sebarang imej atau pergerakan mangsa.
“Susulan itu, pasukan SAR bersama Jabatan Perhilitan telah digerakkan ke lokasi kamera pengawasan di Gunung Rayu untuk mendapatkan satu lagi kad memori bagi semakan lanjut.
“Kamera berkenaan terletak kurang satu kilometer di luar laluan pendakian iaitu Kem Sukaneka, Gunung Rayu, Bukit Berapit dan Pos Musoh. Difahamkan, kawasan itu berada di sempadan Hulu Jelai, Lipis, Pahang,” kata Datuk Sayani.
Sementara itu, rakaman kamera pengawasan hidupan liar sebelum ini merekodkan mangsa berusia 49 tahun itu melintasi salah satu kamera di sekitar Gunung Batu Putih pada pukul 11.22 pagi, 24 Mei lalu.
Tiada rakaman menunjukkan mangsa berpatah balik, sekali gus menguatkan petunjuk bahawa mangsa meneruskan perjalanan ke arah Kem Sukaneka. Terdahulu, seramai 21 anggota pasukan penyelamat masih berada dalam sektor pencarian, melibatkan JBPM, Jabatan Perhutanan dan Malim Gunung Perak.
Komunikasi bersama pasukan di lapangan masih terputus, dipercayai akibat kawasan berbukit dan lembah yang menghalang liputan komunikasi. Pasukan SAR turut mengumpul kekuatan tambahan bagi tindakan bersepadu di sektor tumpuan pencarian.