Op Kesan 6.0 bendung aktiviti pencatutan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Op Kesan 6.0 akan diadakan bermula 1 Jun hingga 31 Ogos depan bagi membendung aktiviti pencatutan susulan krisis bekalan global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan dan kos barangan di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan menyeluruh rantaian bekalan melibatkan pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong dan peruncit serta sektor petrokimia, pertanian, penternakan dan pengangkutan.
  • Penguatkuasaan tegas termasuk keluaran Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap pencatutan.
  • Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kenaikan harga mencurigakan melalui saluran aduan rasmi kementerian bagi membantu membanteras pencatutan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan operasi itu bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada peningkatan kos bahan mentah, operasi dan perniagaan untuk memperoleh keuntungan yang tidak munasabah.

“Krisis bekalan global yang tercetus pada awal tahun ini telah menyebabkan lonjakan harga minyak mentah dunia sekali gus memberi kesan berperingkat kepada kos penghantaran serta harga barangan asas.

“Pelaksanaan Op Kesan 6.0 akan melibatkan pemantauan menyeluruh ke atas rantaian bekalan merangkumi pengilang, penternak, peladang, pengedar, pemborong dan peruncit di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Antara sektor yang menjadi fokus pemeriksaan termasuk sektor petrokimia, pertanian, penternakan serta pengangkutan yang dikenal pasti mempunyai kesan langsung kepada pengguna.

Sepanjang operasi berlangsung, pegawai penguat kuasa KPDN akan mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada premis yang diperiksa bagi mendapatkan maklumat berkaitan harga jualan dan kos operasi.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan atau mengemukakan maklumat palsu bagi tujuan siasatan.

“Sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku pencatutan, tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, orang ramai digesa supaya terus menyalurkan maklumat berhubung kenaikan harga yang mencurigakan menerusi saluran aduan rasmi kementerian bagi membantu usaha membanteras aktiviti pencatutan serta melindungi kepentingan pengguna.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.