Lelaki tempatan ditahan bawa masuk sembilan warga asing

Foto PGA

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Seorang lelaki warga tempatan ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara selepas disyaki membawa masuk sembilan warga asing tanpa izin dalam satu operasi di Kelantan, awal pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenderaan dikesan selepas pemandu memecut dan cuba melarikan diri, kemudian melanggar sebuah kereta yang diparkir.
  • Pemandu mengaku mengambil upah RM100 setiap PATI daripada seorang lelaki dikenali sebagai "Ah Bey" dan berulang lima kali sejak Mei 2026.
  • Sembilan PATI warga Bangladesh dilaporkan masuk melalui jeti Kg Kok Keli, Tumpat; sebuah kereta dan 14 telefon bimbit bernilai RM41,000 dirampas.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota Task Force Batalion 7 PGA Kuantan hasil risikan dan pemantauan terhadap sebuah kenderaan mencurigakan dari Jalan Bendang Morak menghala Wakaf Baru.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu, pasukan operasi mengesan sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari diekori pihak berkuasa.

“Pemandu kenderaan terbabit kemudian bertindak memecut laju sebelum memasuki kawasan kampung dan berlaku pelanggaran terhadap sebuah kenderaan lain yang diparkir di hadapan rumah

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu merupakan lelaki tempatan berusia 21 tahun, manakala sembilan penumpang terdiri daripada warga asing disyaki memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemandu berkenaan mengaku kenderaan yang dipandu milik abangnya dan dia juga mengaku mengambil upah untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan upah RM100 setiap seorang daripada seorang lelaki dikenali sebagai “Ah Bey”.

Katanya, pemandu tersebut juga mengaku membawa masuk PATI sebanyak lima kali sejak bulan Mei 2026.

“Kesemua PATI yang diambil akan dibawa ke Lotus dan Stesen Bas Kota Bharu seperti mana diarahkan oleh dan sembilan lelaki yang ditahan itu merupakan warganegara Bangladesh dan memasuki Negara Malaysia menggunakan Jeti di sekitar Kg Kok Keli, Tumpat,” katanya.

Turut dirampas sebuah kereta dan 14 telfon bimbit dengan nilai keseluruhan RM41,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut, manakala kes dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah IPD Tumpat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.