
ALOR SETAR, 11 Mei – Polis Daerah Kota Setar sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
- Nur Diyana Alyaa, 17, dilapor hilang sejak 9 Mei; laporan polis dibuat di Pokok Sena.
- Terakhir dilihat memakai baju putih, seluar hitam dan bertudung.
- Sesiapa ada maklumat hubungi Sarjan Siti Hajjar 04-7747222 samb. 7184, Pusat Kawalan 04-7326999 atau Hotline IPK 04-7741222.
Remaja terbabit, Nur Diyana Alyaa Zainari, dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 9 Mei lalu sebelum satu laporan polis dibuat di Pokok Sena semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Syed Basri Syed Ali berkata, kali terakhir remaja itu dilihat memakai baju berwarna putih, seluar hitam serta bertudung.
Beliau berkata, remaja terbabit dipercayai keluar menaiki sebuah Perodua Alza berwarna putih.
Menurutnya, Nur Diyana Alyaa mempunyai ketinggian kira-kira 160 sentimeter, berat badan 70 kilogram dan berkulit cerah.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan remaja itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Siti Hajjar Abd Gani di talian 04-7747222 sambungan 7184.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah menerusi talian 04-7326999 atau Hotline IPK Kedah di 04-7741222.