
KUALA LUMPUR 10 Oktober– Peruntukan sukan dalam Belanjawan 2027 perlu dilihat sebagai pelaburan yang mampu menjana pulangan kepada negara, bukan sekadar pembiayaan pembangunan atlet dan penganjuran kejohanan.
- Kembangkan penglibatan masyarakat dalam sukan untuk galakkan gaya hidup sihat dan cegah penyakit tidak berjangkit.
- Gunakan penganjuran kejohanan antarabangsa untuk merancakkan industri sukan tempatan dan pelancongan sukan.
- Jalinkan kerjasama dengan pemain industri untuk promosikan produk tempatan dan tingkatkan peluang perniagaan.
- Pelaburan sukan mampu melahirkan atlet berprestasi tinggi serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Ahli Lembaga Institut Sukan Negara dan Pensyarah Kanan Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamed Nashrudin Naharudin berkata, pelaburan sukan perlu diperluas kepada penglibatan masyarakat, pembangunan industri sukan tempatan dan pelancongan sukan.
“Saya melihat belanjawan ini sebagai satu belanjawan yang agak menyeluruh, walaupun peruntukan bagi sektor sukan tidak begitu besar jika dibandingkan dengan kementerian-kementerian lain.
“Namun begitu, terdapat dua aspek penting yang saya lihat dalam pembentangan semalam. Peruntukan ini bukan sekadar satu bentuk input, tetapi lebih kepada pelaburan yang mampu memberikan hasil atau impak dalam jangka panjang.
“Pertama, daripada aspek pembangunan atlet, peruntukan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada atlet berprestasi tinggi, malah turut menggalakkan rakyat untuk melibatkan diri secara aktif dalam sukan serta mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia hari ini, di sini.
Menurut beliau, penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan juga penting sebagai langkah pencegahan penyakit tidak berjangkit, termasuk obesiti.
Dalam masa sama, peruntukan bagi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa perlu dimanfaatkan untuk merancakkan industri sukan tempatan, termasuk melalui pelancongan sukan dan promosi produk tempatan.
Langkah itu berpotensi mewujudkan peluang perniagaan serta meningkatkan sumbangan industri sukan kepada ekonomi negara.
“Selain itu, saya melihat peruntukan sebanyak RM240 juta bagi penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para Asia tahun depan sebagai satu peluang yang besar.
“Saya berharap kerajaan dapat memanfaatkan peluang menjadi tuan rumah ini untuk memperluas dan mengembangkan industri sukan tempatan.
“Sebagai contoh, kerajaan boleh memperkasakan pelancongan sukan serta menjalinkan kerjasama dengan pemain industri sukan bagi memperkenalkan produk-produk tempatan.
“Secara keseluruhannya, usaha ini mampu merancakkan pertumbuhan industri sukan tempatan,” jelasnya.
Beliau berharap pelaburan dalam sektor sukan dapat memberi manfaat berganda, daripada melahirkan atlet berprestasi tinggi hingga memperkukuh kesihatan rakyat dan menjana aktiviti ekonomi.