Belanjawan 2027: PH Pahang komited pastikan rakyat nikmati manfaat

Foto BERNAMA

KUANTAN, 10 Oktober – Pakatan Harapan (PH) Pahang komited memastikan manfaat Belanjawan 2027 dapat dinikmati golongan yang layak, khususnya rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang berdepan tekanan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif utama: kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 Jun 2027; peruntukan RM16 bilion untuk STR dan SARA; Bantuan Awal Persekolahan RM200.
  • Gerakkan jentera PH untuk memperluas penyampaian maklumat, bantu pemahaman syarat kelayakan dan saluran permohonan, kenal pasti yang belum mendapat akses.
  • Tumpuan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro untuk maklumat pembiayaan, latihan serta sokongan pembangunan perniagaan.
  • Maklum balas daripada program turun padang akan disalur ke kementerian dan agensi untuk memperbaiki pelaksanaan; kepimpinan politik wajib terjemah pengumuman kepada tindakan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, antara inisiatif yang dapat membantu meringankan beban rakyat ialah kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027, peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM200.

Menurut beliau, keberkesanan belanjawan bergantung pada sejauh mana bantuan dan kemudahan yang diumumkan dapat dinikmati golongan sasaran.

“Jentera PH Pahang di semua peringkat akan digerakkan untuk memperluas penyampaian maklumat mengenai inisiatif Belanjawan 2027, membantu rakyat memahami syarat kelayakan dan saluran permohonan, selain mengenal pasti golongan yang masih belum mendapat akses kepada bantuan dan kemudahan disediakan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Usaha berkenaan turut memberi tumpuan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro bagi memastikan mereka mendapat maklumat mengenai peluang pembiayaan, latihan serta sokongan perniagaan.

Golongan belia, pekerja dan keluarga juga akan dibantu mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan, pendidikan serta inisiatif peningkatan pendapatan.

Beliau berkata, maklum balas dan permasalahan yang dikenal pasti menerusi program turun padang akan disalurkan kepada kementerian serta agensi berkaitan bagi membantu menambah baik pelaksanaan belanjawan.

“Belanjawan yang baik memerlukan pelaksanaan yang berkesan. Sehubungan itu, tanggungjawab kepimpinan politik tidak seharusnya terhenti pada menyambut baik pengumuman kerajaan, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan yang memudahkan urusan rakyat,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.