
KOTA BHARU, 10 Oktober – Projek pembangunan infrastruktur yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi Kelantan, khususnya melalui peningkatan keterhubungan dan peluasan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
- Empangan Lebir di Gua Musang dan Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Golok Fasa Dua atasi banjir serta pertingkatkan bekalan air bersih.
- Cadangan pemanjangan ECRL ke Rantau Panjang serta stesen bas di Kota Bharu mengukuhkan jaringan pengangkutan dan merancakkan rantaian ekonomi negeri.
- Limpahan ekonomi dijangka bermanfaat kepada sektor F&B, agrokomoditi, pertanian, perikanan dan pelancongan melalui peningkatan akses dan peluang perniagaan tempatan.
- Pembangunan dijangka menyumbang kepada peningkatan KDNK Kelantan hampir RM30 bilion dan diharap membuka ruang kepada industri bernilai tinggi.
Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Mohd Safwan Ghazali berkata, antara projek berkenaan termasuk perancangan Empangan Lebir di Gua Musang bagi menangani isu banjir dan bekalan air bersih, selain projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Golok Fasa Dua (PLSB).
Menurutnya, cadangan pemanjangan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang serta pembinaan stesen bas di stesen ECRL Kota Bharu turut berpotensi memperkukuh jaringan pengangkutan dan merancakkan rantaian ekonomi negeri itu.
Beliau berkata, pembangunan berkenaan dijangka memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor perniagaan, bukan sahaja makanan dan minuman (F&B), malah sektor lain yang berpotensi mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek terbabit.
“Projek dan pengumuman pembangunan menerusi Belanjawan 2027 dijangka meningkatkan keterhubungan serta melancarkan rantaian ekonomi dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Kita juga berharap limpahan ekonomi itu dapat dinikmati usahawan Kelantan daripada pelbagai sektor, bukan hanya makanan dan minuman,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu di konti KELANTANfm menerusi segmen Kecek Kiro Kito Belanjawan 2027 bersama Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Ivan Toh.
Mengulas lanjut, Mohd Safwan berkata, pembangunan infrastruktur itu turut berpotensi menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan yang dianggarkan hampir RM30 bilion.
Selain sektor agrokomoditi, pertanian dan perikanan, industri pelancongan juga dijangka menerima manfaat menerusi peningkatan akses dan keterhubungan hasil pembangunan ECRL.
Bagaimanapun, beliau berharap pembangunan ekonomi negeri itu tidak hanya tertumpu kepada industri bernilai rendah, sebaliknya turut membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk menceburi industri bernilai tinggi.