Agong berkenan sambut ketibaan Presiden Mesir

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyambut Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, yang memulakan lawatan negara ke Malaysia hari ini, dengan tumpuan kepada pengukuhan hubungan dua hala serta kerjasama perdagangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara dengan lagu kebangsaan, tembakan meriam 21 das dan pemeriksaan Kawalan Kehormatan ATM.
  • Presiden El-Sisi mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Anwar untuk nilai kerjasama, isu serantau dan pertukaran memorandum persefahaman.
  • Lawatan pertama Presiden Mesir ke Malaysia hampir tiga dekad; hubungan diplomatik antara kedua negara terjalin sejak 1959.

Ketibaan Presiden El-Sisi di Istana Negara pada pukul 10 pagi disambut menerusi Istiadat Sambutan Negara yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Istiadat di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia dan Mesir, diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das serta pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden El-Sisi kemudian menandatangani buku tetamu Istana Negara sebelum menghadap Seri Paduka Baginda di Dewan Seri Maharaja. Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima delegasi Mesir dan meraikan Presiden itu dalam Majlis Jamuan Negara.

Sementara itu, Presiden El-Sisi dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Datuk Seri Anwar bagi menilai kemajuan kerjasama sedia ada serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin turut dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) sebelum menghadiri Majlis Minum Petang Rasmi di Kompleks Seri Perdana.

Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Presiden Mesir ke Malaysia dalam tempoh hampir tiga dekad, selepas lawatan bekas Presiden Mohamed Hosni Mubarak pada November 1997 bagi menghadiri Sidang Kemuncak G-15 di Kuala Lumpur.

Dari sudut perdagangan, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika pada 2025, dengan jumlah dagangan bernilai RM3.08 bilion.

Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Mesir bernilai RM2.55 bilion, manakala import dari negara berkenaan berjumlah RM530 juta.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion.

Malaysia dan Republik Arab Mesir menjalin hubungan diplomatik sejak 1959.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.