
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Belanjawan 2027 perlu memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar diukur melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
- Selaraskan belanjawan tahunan dengan perancangan jangka panjang seperti RMK13 untuk merealisasikan dasar negara.
- Lakukan penilaian berterusan ke atas program untuk memperluas yang berimpak, baiki yang lemah dan hentikan yang tidak berkesan.
- Ukur kesejahteraan melalui pendapatan boleh guna: lebihan pendapatan selepas tolak komitmen wajib dan pembayaran cukai.
- Utamakan kualiti perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan serta akses awam yang lebih baik untuk manfaat langsung rakyat.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, belanjawan tahunan perlu selari dengan perancangan pembangunan jangka panjang negara, termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Jadi dalam konteks ini pada tahun 2026 kita lihat bahawa belanjawan-belanjawan yang seterusnya adalah untuk memberikan input kepada perancangan RMK13.
“Ianya adalah satu kesinambungan daripada apa yang telah dirancangkan oleh kerajaan, dan belanjawan setiap tahun itu adalah input untuk merealisasikan apa yang telah dirancangkan,” katanya ketika ditemui media selepas bersiaran dalam Program Selamat Pagi Malaysia.
Mengulas mengenai keberkesanan dasar kerajaan, beliau berkata penilaian perlu dilakukan secara berterusan bagi mengenal pasti program yang memberikan impak positif, selain menambah baik inisiatif yang mempunyai kelemahan dan menghentikan program yang tidak berkesan.
Langkah itu penting bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.
“Program-program yang memberikan impak baik perlu diperluas, manakala program yang mempunyai kelemahan perlu diperbaiki. Jika tidak memberikan impak atau tidak berkesan, program itu boleh dihentikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kesejahteraan rakyat juga perlu diukur melalui pendapatan boleh guna, iaitu baki pendapatan selepas ditolak komitmen wajib.
Selain itu, kualiti perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan perlu terus diberi perhatian bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Persoalannya, adakah rakyat mempunyai lebihan pendapatan pada akhir bulan selepas menolak komitmen wajib dan membayar cukai? Perkara itu boleh dijadikan antara ukuran pendapatan boleh guna rakyat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Belanjawan 2027 perlu memberi penekanan kepada hasil yang boleh dirasai rakyat, dengan memastikan pertumbuhan ekonomi negara seiring peningkatan kualiti hidup rakyat dan akses kepada perkhidmatan awam yang lebih baik.