
DUNGUN, 11 Mei – Seorang pemotong kayu direman tujuh hari hingga Ahad depan selepas disyaki mendera anak lelaki tirinya berusia lima tahun sejak sebulan lalu di Kampung Besol Baru, Bukit Besi pada April lepas.
- Mangsa melaporkan jarinya dibakar menggunakan pemetik api pada 7 April.
- Mangsa turut mendakwa pernah dicekik dan dipijak di perut ketika ibu tiada di rumah.
- Suspek ditahan selepas ibu membuat laporan; tiada rekod jenayah lampau dan negatif dadah.
Perintah reman dikeluarkan hakim Mahkamah Majistret Dungun, Nur Amirah Fatihah Osman bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan petang semalam selepas ibu kandung mangsa berusia 30 tahun membuat laporan polis pada hari sama.
“Ibu mangsa menyedari kesan melecur pada jari manis tangan kiri anaknya pada 7 April lalu, sebelum mangsa memaklumkan kecederaan itu hasil perbuatan suspek yang membakar jarinya menggunakan pemetik api,” kata DSP Jumaidy.
Tindakan suspek membakar jari mangsa bertujuan untuk mengajarnya kerana mangsa dikatakan terlalu nakal dan degil.
Selain itu, mangsa turut memaklumkan yang dia pernah dicekik dan dipijak pada bahagian perut oleh suspek ketika ibunya tiada di rumah, namun tiada saksi yang melihat kejadian tersebut.
Siasatan lanjut turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan didapati negatif dadah.
Suspek berkahwin dengan ibu mangsa sejak hampir tiga tahun lalu.