
TUMPAT, 2 Jun – Empat lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan petrol di sebuah stor haram di Pengkalan Haram Tualang, Pengkalan Kubor, di sini, semalam.
- Op Taring Wawasan Kelantan merampas barangan bernilai RM65,588.80 semasa serbuan.
- Dalam stor, petugas mendapati petrol disedut ke dalam tong; beberapa individu melarikan diri ke Thailand.
- Petrol ditemui 140 liter dan wang tunai RM4,800; suspek membeli di stesen, menjual semula ke Thailand untuk untung.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semua suspek berusia antara 32 hingga 58 tahun ditahan dalam serbuan Op Taring Wawasan Kelantan membabitkan rampasan bernilai RM65,588.80.
Beliau berkata, anggota Risik Batalion 8 PGA bersama anggota sekat pintas Pos Ular Kompeni C Batalion 8 melakukan pemerhatian kira-kira 30 minit di hadapan stor berkenaan sebelum mengesan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) memasuki premis dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan serbuan kemudian menyerbu stor berkenaan dan mendapati dua lelaki sedang menyedut petrol dari tangki kenderaan ke dalam tong plastik, seorang lelaki berada di meja stor manakala seorang lagi memunggah tong plastik ke dalam perahu.
“Bagaimanapun, beberapa individu lain yang berada di perahu bertindak melarikan diri ke Thailand sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan lanjut di stor berkenaan menemukan dua SUV, dua hos getah, dua pam angin, 140 liter petrol serta wang tunai RM4,800 dipercayai hasil jual beli minyak.
Katanya, siasatan awal mendapati dua suspek tempatan bertanggungjawab membeli petrol dari stesen minyak berhampiran sebelum menjualnya kepada pembeli warga Thailand di stor terbabit.
“Suspek warga Thailand itu dipercayai sudah tiga tahun terbabit dalam kegiatan penyeludupan petrol dan menjual semula bahan api berkenaan di negara jiran.
“Stor itu disewa pada kadar RM700 sebulan manakala seorang lagi suspek tempatan bekerja sebagai pekerja stor dengan upah RM50 sehari,” katanya.
Beliau berkata, dua suspek tempatan terbabit dipercayai membeli petrol di sebuah stesen minyak di Telaga Lanas sebelum mengisinya ke dalam tong untuk dijual.
Katanya, setiap tong mengandungi 30 liter petrol dan mereka memperoleh keuntungan kira-kira RM9 bagi setiap tong dijual.
“Pembeli warga Thailand itu membeli petrol pada harga RM4.40 seliter sebelum menjual semula di Thailand pada harga lebih tinggi.
“Dalam sehari, suspek dipercayai mampu membeli dan menjual sehingga 60 tong petrol,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kota Bharu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan PGA akan terus mempertingkat risikan serta pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan petrol di sempadan negara.