
NARITA, 3 Jun – Pasukan bola sepak kebangsaan Jepun berlepas ke Mexico pada Selasa sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia 2026.
- Skuad Samurai Biru tiba dengan semangat tinggi selepas kemenangan 1-0 ke atas Iceland, perlawanan persahabatan terakhir sebelum kejohanan.
- Ketua jurulatih Hajime Moriyasu tekankan perpaduan, ketabahan dan keberanian; mahu pasukan berjuang sehingga saat akhir dan memberi inspirasi kepada penyokong.
- Jepun akan berlatih di Monterrey, sebelum ke Amerika Syarikat; buka Kumpulan F menentang Belanda di Dallas (14 Jun), kemudian Tunisia, Sweden.
Skuad Samurai Biru tiba dengan semangat tinggi selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Iceland dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Ahad lalu, yang juga merupakan perlawanan terakhir mereka sebelum memulakan kempen Piala Dunia.
Ketua Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu berkata pasukan itu mahu menampilkan semangat juang tinggi dan kekal bersatu sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kami berjaya melangkah sejauh ini bukan hanya dengan memberi tumpuan kepada keputusan akhir, tetapi dengan berjuang untuk kemenangan dalam setiap perlawanan.
“Pada Piala Dunia kali ini, kami mahu memperlihatkan sebuah pasukan yang bersatu, kental, berdaya tahan dan berani sehingga ke detik terakhir. Kami berharap persembahan kami dapat memberi inspirasi kepada penyokong serta menyuntik semangat kepada rakyat Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan yang dianjurkan syarikat penerbangan ANA sebelum keberangkatan pasukan ke Mexico.
Jepun akan menjalani latihan di Monterrey bermula Rabu sebelum berlepas ke Amerika Syarikat. Mereka dijadual membuka saingan Kumpulan F menentang Belanda di Dallas pada 14 Jun, sebelum berdepan Tunisia pada 20 Jun dan Sweden pada 25 Jun.- REUTERS