Empat pelajar cedera rempuh kereta ketika perjalanan ke sekolah

Foto ihsan orang awam

MACHANG, 11 Mei – Empat pelajar cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan, di sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa ialah Muhammad Muskir Rosli, 14; adiknya Mas Siti Rosnani, 7; serta dua anak saudara, 9 dan 12 tahun.
  • Motosikal dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk simpang lalu melanggar bahagian hadapan kanan kereta.
  • Penunggang adalah pelajar SMK Seri Intan manakala tiga pembonceng pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Pek Machang.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; mangsa dihantar ke Hospital Machang, pemandu kereta tidak cedera.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, Muhammad Muskir Rosli, 14 tahun bersama adiknya, Mas Siti Rosnani, 7, serta dua anak saudara mereka, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, mengalami kecederaan serius selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta dalam perjalanan ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Machang, Supt. Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Machang menghala ke Kuala Krai.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki kesemua mangsa datang dari arah bertentangan dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang di sebelah kanan jalan.

Akibatnya, motosikal terbabit melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Penunggang motosikal merupakan pelajar SMK Seri Intan manakala tiga lagi pembonceng pula pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Pek, Machang.

Kesemua mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.

Pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.