
BEIJING, 13 Oktober – Malaysia merancang dan mencadangkan kerjasama dengan China menerusi perjanjian bersama serta bantuan perundangan dalam pengurusan bencana negara khususnya ketika menghadapi Monsun Timur Laut.
- China menawarkan sistem berasaskan satelit dan pemindahan teknologi bagi meningkatkan ketepatan ramalan cuaca; proses pemindahan akan diurus secepat mungkin.
- Sistem mungkin tidak digunakan pada Monsun Timur Laut ini tetapi dijangka siap untuk kegunaan tahun hadapan.
- Bulan Kesiapsiagaan Bencana bersama MetMalaysia membolehkan kemas kini ramalan cuaca dan pengenalpastian lokasi berisiko untuk amaran awal.
- Kerajaan memperbaiki PPS dan menyediakan pusat pemindahan kekal; langkah kesiapsiagaan mengurangkan kerugian banjir daripada RM960 juta kepada RM600 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama itu turut melibatkan usaha memperoleh sistem ramalan cuaca lebih canggih dari China bagi meningkatkan keupayaan Malaysia menghadapi bencana.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memberitahu Beijing telah menawarkan sistem serta kemudahan peralatan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan proses pemindahan teknologi bakal diurus secepat mungkin.
“China menawarkan sistem berasaskan satelit bertujuan membantu Malaysia mempertingkatkan ketepatan ramalan cuaca.
“Sistem berkenaan kemungkinan tidak dapat digunakan pada Monsun Timur Laut kali ini, tetapi untuk tahun akan datang, kami sedia menguruskan pemindahan teknologi sistem serta peralatan berkenaan,”katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja lima hari beliau ke negara itu sehingga 16 Oktober ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memaklumkan, pelaksanaan Bulan Kesiapsiagaan Bencana dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) membolehkan kemas kini maklumat ramalan cuaca termasuk mengenal pasti lokasi berisiko sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.
“Maklumat berkenaan mengeluarkan amaran awal dan membolehkan pemindahan penduduk di kawasan titik panas sekiranya hujan lebat serta luruan angin melebihi jangkaan asal.
“Kerajaan turut menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan kemudahan di lokasi terjejas ditambah baik mengikut peruntukan yang diterima.
“Selain itu, pusat pemindahan kekal turut disediakan dan boleh digunakan di luar musim banjir termasuk bagi aktiviti persekolahan serta kegunaan lain,”katanya lagi.
Pada 2024, RM960 juta, angka kerugian akibat banjir dan hasil langkah kesiapsiagaan yang dilaksana pada tahun berikutnya menyaksikan jumlah berkenaan berkurangan kepada RM600 juta.
“Tindakan awal termasuk pemindahan penduduk dan penyelamatan dokumen penting akan dipertingkatkan dengan NADMA serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat terus menyelaras persiapan menghadapi banjir,”katanya.
Justeru beliau berharap pemindahan teknologi ramalan cuaca dari China berupaya meningkatkan kesiapsiagaan Malaysia, sekali gus mengurangkan risiko terhadap keselamatan penduduk dan kerosakan harta benda.