UM bakal tambah 10,000 katil penginapan pelajar minggu ini

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Universiti Malaya (UM) dijadual melancarkan penambahan 10,000 katil penginapan pelajar minggu ini sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa universiti awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPT bekerjasama secara strategik dengan agensi termasuk KWAP dan beberapa universiti bagi membangunkan kemudahan penginapan baharu.
  • Kementerian menerima peruntukan tambahan RM800 juta untuk menaik taraf, menyelenggara dan membaik pulih asrama, bilik kuliah dan kemudahan pembelajaran.
  • Langkah ini bertujuan memperkukuh kebajikan, meningkatkan keselesaan mahasiswa dan memastikan prasarana pendidikan tinggi sentiasa dalam keadaan baik.

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dan peruntukan tambahan bagi membangunkan kemudahan penginapan baharu bersama institusi pengajian tinggi serta agensi berkaitan.

“Berhubung isu penginapan, pihak kementerian melaksanakan pelbagai program untuk menambah bilangan kemudahan bagi mahasiswa.

“Bagi Universiti Malaya (UM), insya-Allah dalam masa terdekat kita akan menambah lagi 10,000 katil untuk anak-anak yang menuntut di universiti ini,” katanya ketika ditemui selepas rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Beliau berkata, KPT turut bekerjasama dengan agensi seperti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) membabitkan enam universiti, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), bagi membangunkan kemudahan penginapan yang lebih baik.

Selain itu, kementerian memperoleh peruntukan tambahan RM800 juta untuk menaik taraf, menyelenggara dan membaik pulih prasarana sedia ada, termasuk asrama, bilik kuliah serta kemudahan pembelajaran di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Peruntukan itu bertujuan meningkatkan keselesaan mahasiswa selain memastikan kemudahan pembelajaran dan penginapan di institusi pendidikan tinggi terus berada dalam keadaan baik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.