Malaysia-China perhebat usaha banteras dadah, penipuan siber

Foto RTM

BEIJING, 13 Oktober – Malaysia dan China akan memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras jenayah rentas negara, penyeludupan dadah serta penipuan siber.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkongsian maklumat risikan serta penyelarasan siasatan dan penguatkuasaan antara kedua negara.
  • Jawatankuasa keselamatan memberi penekanan pembanterasan penyeludupan dadah merentas sempadan.
  • Malaysia dan China menyertai International Alliance Combating Telecom and Cyber Fraud untuk siasatan rentas sempadan dan pemulihan aset.
  • RUU Jenayah Siber dibentangkan di Dewan Rakyat; lawatan kerja bertujuan merealisasikan Perkongsian Strategik Komprehensif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu penting memandangkan kegiatan penipuan siber turut membabitkan mangsa dari China.

Kerjasama berkenaan merangkumi perkongsian maklumat risikan, penyelarasan siasatan dan penguatkuasaan undang-undang antara kedua-dua negara.

Usaha itu turut dilaksanakan menerusi jawatankuasa bersama dalam bidang keselamatan, dengan penekanan terhadap pembanterasan penyeludupan dadah.

“Kerjasama antara PDRM (Polis Diraja Malaysia) dengan China National Narcotic Control Commission cukup erat, bukan hanya berkongsi maklumat dan melaksanakan penguatkuasaan, tetapi menggunakan beberapa kaedah terbaharu dari segi memperoleh maklumat awal sebelum penyeludupan ataupun penyediaan kemudahan untuk memproses bahan-bahan menjadi dadah,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel, di sini.

Menurut beliau, usaha membanteras penyeludupan dadah merentas sempadan akan diteruskan menerusi kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari China bagi memperkukuh kerjasama berkenaan.

Dalam menangani penipuan siber dan keselamatan digital, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, Malaysia dan China turut menyertai program International Alliance Combating Telecom and Cyber Fraud pada 10 September lepas.

Inisiatif itu memberi keutamaan kepada siasatan jenayah rentas sempadan serta usaha mengesan dan mendapatkan semula aset yang dicuri.

Selain itu, Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi persidangan Julai lalu.

Lawatan kerja lima hari beliau ke China antara lain bertujuan merealisasikan Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara menerusi pertemuan dengan Menteri Keselamatan Awam dan Timbalan Perdana Menteri republik itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.