
JAKARTA, 16 Oktober –Sekurang-kurangnya empat lelaki maut ketika memadam kebakaran hutan di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, Indonesia, pada Khamis.
- Mangsa terperangkap dalam kepungan api dan asap tebal semasa operasi memadam kebakaran.
- Dua mangsa petugas taman negara, dua lagi pengawal keselamatan yang membantu operasi.
- Dua individu lain, anggota bomba sukarela dan pengawal hotel, mengalami kecederaan melecur serius dan dirawat.
- Titik panas meningkat kepada 799, tertumpu di Kalimantan Tengah dan selatan Sumatera; operasi dan kebimbangan habitat orang utan meningkat.
Kementerian Perhutanan Indonesia dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa terperangkap dalam kepungan api dan asap tebal ketika menjalankan operasi memadam kebakaran.
Tiga daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi disahkan maut ketika menerima rawatan di hospital.
Jurucakap taman negara berkenaan, Endrip Wahyutama, berkata dua mangsa merupakan petugas taman negara, manakala dua lagi pengawal keselamatan yang membantu operasi berkenaan.
Dua individu lain, masing-masing anggota bomba sukarela dan pengawal keselamatan sebuah hotel berhampiran yang turut membantu memadam kebakaran, mengalami kecederaan serius akibat melecur dan sedang menerima rawatan.
Kementerian Perhutanan menyifatkan kejadian itu sebagai peringatan bahawa operasi memadam kebakaran hutan dan tanah merupakan tugas berisiko tinggi.
Sementara itu, jumlah titik panas yang dikesan satelit di seluruh Indonesia meningkat kepada 799 setakat petang Khamis, berbanding 372 pada hari sebelumnya.
Kebanyakan titik panas direkodkan di Kalimantan Tengah, diikuti bahagian selatan Sumatera.
Menurut kementerian itu, operasi di lapangan sedang dipertingkatkan susulan peningkatan ketara titik panas di Kalimantan Tengah.
Kementerian turut menyuarakan kebimbangan terhadap kebakaran berhampiran Taman Negara Tanjung Puting, yang menjadi habitat penting kepada orang utan terancam.
Operasi pemadaman menggunakan pesawat pengebom air dan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan turut berdepan kekangan akibat jarak penglihatan rendah susulan asap kebakaran.
Dalam pada itu, beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan dilaporkan mengalami keadaan kualiti udara tidak sihat hingga sangat tidak sihat, malah mencecah tahap berbahaya di lokasi tertentu.
– AFP