Ribut kencang rosakkan 251 kediaman di Colombia

Foto Viory

COLOMBIA, 16 Oktober -Ribut kencang melanda perbandaran Funza, di wilayah Cundinamarca, Colombia, pada petang Rabu, mengakibatkan 251 kediaman rosak, selain pokok dan tiang utiliti tumbang serta gangguan bekalan elektrik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bumbung dan penutup rumah diterbangkan; hujan menyebabkan air memasuki kediaman tanpa bumbung.
  • Pihak berkuasa masih menjalankan penilaian bagi mengenal pasti tahap kemusnahan serta keperluan keluarga terjejas.
  • Pejabat Gabenor dan pihak perbandaran mengagihkan bahan binaan; 1,000 jubin tersedia, namun kira-kira 1,800 diperlukan untuk pembaikan.
  • Pasukan bantuan sedia sokongan psikososial; pasukan teknikal membaik pulih tiang dan kabel untuk memulihkan bekalan elektrik.

Angin kencang yang melanda kira-kira pukul 3.30 petang waktu tempatan menyebabkan bumbung dan penutup rumah diterbangkan di beberapa kawasan.

Keadaan bertambah buruk apabila hujan menyusul, menyebabkan air memasuki kediaman yang kehilangan bumbung.

Datuk Bandar Funza, Jeimmy Villamil, memaklumkan pihak berkuasa masih menjalankan penilaian bagi mengenal pasti tahap kemusnahan serta keperluan keluarga terjejas.

Pejabat Gabenor Cundinamarca bersama pihak berkuasa perbandaran turut mengagihkan bahan binaan bagi membolehkan kerja pembaikan bumbung dilaksanakan.

Pihak berkuasa memaklumkan lebih 1,000 keping jubin bumbung tersedia, namun kira-kira 1,800 keping diperlukan bagi membaik pulih kerosakan yang direkodkan.

Pasukan bantuan turut digerakkan bagi menyediakan sokongan psikososial kepada penduduk terjejas.

Antara kawasan yang melaporkan kerosakan ialah Samarkanda, Serrezuelita, Mexico, Nueva Gerona, Furatena, El Hato dan Bellizca.

Selain kediaman, kompleks sukan perbandaran turut mengalami kerosakan apabila jubin bumbung tercabut dan beberapa cermin tingkap pecah.

Sementara itu, pasukan teknikal menjalankan kerja pembaikan tiang serta kabel elektrik yang rosak bagi memulihkan bekalan elektrik di kawasan terjejas. – Viory

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.