
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – EGH International Bhd memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14.5 sen sesaham, diskaun 9.38 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 16 sen.
- Nilai buku pesanan RM323 juta dan beberapa tender bernilai ratusan juta, memberi prospek pertumbuhan baik berdasarkan pengalaman 15 tahun.
- Merancang pengembangan di Sabah, Sarawak dan Vietnam, termasuk kajian kebolehlaksanaan serta penglibatan projek seperti Club Med Borneo.
- Hasil IPO RM57.6 juta akan digunakan untuk bangunkan ibu pejabat, gudang, bilik pameran, bayar balik pinjaman, modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.
Ketika dagangan dibuka, sebanyak 28.46 juta saham penyedia perkhidmatan pemasangan dalaman itu diniagakan.
Pengarah Urusannya, Datuk Weslie Lim Yuk Meng yakin dengan prospek syarikat bagi tempoh akan datang susulan prestasi kewangan yang dipamerkan pada suku sebelum ini.
“Ketika ini, nilai buku pesanan kami berjumlah RM323 juta dan memperoleh beberapa tender dengan nilai mencecah ratusan juta ringgit.
”Berdasarkan anggaran serta unjuran bersandarkan pengalaman selama 15 tahun dalam industri ini, kami mempunyai peluang baik untuk meningkatkan nilai buku pesanan ke paras lebih tinggi, melebihi RM300 juta yang direkodkan ketika ini,”katanya selepas majlis penyenaraian EGH International hari ini.
Jelasnya, syarikat juga sedang giat meneroka peluang untuk mengembangkan perniagaan di Sabah dan Sarawak, selepas terlibat dalam projek Club Med Borneo.
”EGH kini sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan melibatkan beberapa lokasi dan bangunan yang berpotensi untuk dibangunkan semula di Sarawak.
”Selain Sarawak, kami turut meneroka peluang di Vietnam dan telah menerima beberapa pertanyaan berkaitan potensi projek di negara itu,” jelasnya.
Syarikat itu merancang untuk membelanjakan hasil IPO berjumlah RM57.6 juta bagi pembinaan ibu pejabat baharu, gudang dan bilik pameran di Puchong, Selangor, selain membayar balik pinjaman serta membiayai pengembangan perniagaan.
Baki dana akan diperuntukkan bagi modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.