Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 berkuat kuasa hari ini

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Oktober – Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan beberapa aspek baharu, mula berkuat kuasa hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seksyen 42A menjadikan lumba haram kesalahan; hukuman denda RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, hukuman lebih berat jika berulang.
  • Seksyen 110B kenakan hukuman berat terhadap tonto; denda RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara satu hingga lima tahun, dikategorikan kesalahan boleh tangkap.
  • Pindaan perkukuh pendigitalan, akauntabiliti pemunya terhadap kesalahan kamera penguatkuasaan, serta had maksimum kompaun dinaikkan kepada RM500 mulai 1 Januari 2029.

Pindaan akta tersebut bagi memperkukuh keselamatan jalan raya dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan, pindaan yang mengandungi 42 fasal itu turut merangkumi usaha membanteras kegiatan lumba haram dan tonto.

Selain, memperluas pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta memperketat hukuman terhadap pemalsuan dokumen kenderaan.

Antara perubahan utama ialah pengenalan Seksyen 42A yang menjadikan perbuatan berlumba atau menguji kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan khusus, sekali gus membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.

“Bagi sabitan pertama, pesalah boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya. Bagi sabitan kedua atau berikutnya, hukuman meningkat kepada denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.

Pindaan itu turut memperkenalkan Seksyen 110B bagi menangani kegiatan tonto yang menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan, termasuk mengekori kenderaan penguat kuasa dan menyalurkan maklumat operasi bagi membantu pihak tertentu mengelak daripada tindakan undang-undang.

Pesalah yang disabitkan atas kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara antara satu hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu turut dikategorikan sebagai kesalahan boleh tangkap.

Dalam aspek penguatkuasaan berasaskan teknologi, pindaan Seksyen 53B memperkukuh akauntabiliti pemunya berdaftar terhadap kesalahan yang dikesan melalui kamera penguatkuasaan, termasuk sistem penguatkuasaan automatik.

“Pindaan kepada beberapa peruntukan bagi memperkukuh asas perundangan penggunaan lesen, dokumen, rekod dan notis secara elektronik. Ini termasuk memudahkan urusan pelesenan kenderaan dan pemandu serta membuka ruang kepada kaedah pelaporan kemalangan secara digital, tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pengangkutan menjelaskan peningkatan had maksimum kompaun bagi kesalahan yang boleh dikompaun daripada tidak melebihi RM300 kepada tidak melebihi RM500, yang hanya akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2029.

Penetapan tarikh berkenaan bertujuan memberi tempoh peralihan yang mencukupi kepada pengguna jalan raya, selaras dengan komitmen yang dinyatakan ketika pembentangan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Parlimen.

Sementara itu, peningkatan had maksimum itu tidak bermakna semua kesalahan trafik akan dikenakan kompaun RM500 secara automatik.

Sebaliknya, amaun kompaun yang ditawarkan bergantung pada jenis kesalahan dan kaedah yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.