Kebakaran ‘zombi’ tanah gambut di Indonesia: Cetus jerebu, langit jingga berbau busuk

Situasi  jerebu di Palangkaraya, Kalimantan Tengah/Foto AFP

JAKARTA, 13 Oktober – Kawasan tanah gambut di Borneo, Indonesia yang terus mengalami kebakaran hutan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan penduduk tempatan diselubungi jerebu jingga-kecoklatan berbau busuk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran bawah permukaan gambut sukar dipadam, berlarutan sebagai kebakaran 'zombi' selama berminggu-minggu.
  • Pencerobohan industri, pembukaan ladang dan saliran parit mengeringkan gambut, memudahkan kebakaran terutamanya semasa El Nino.
  • Asap mengandungi formaldehyde, hydrogen cyanide, ammonia dan zarah PM2.5, menyebabkan lonjakan penyakit pernafasan.
  • Pakar galak batalkan lesen, bendung parit dan pulih serta tanam semula spesies tempatan; langkah kerajaan belum menghentikan kebakaran.

Kebakaran tanah gambut yang berlaku secara perlahan di bawah permukaan tanah menjadi punca utama krisis jerebu musim kemarau tahun ini yang menjejaskan kualiti udara hingga ke Malaysia, Singapura dan Filipina.

Indonesia memiliki kawasan tanah gambut tropika terbesar di dunia. Namun, menurut NGO Pantau Gambut, daripada anggaran 24.2 juta hektar tanah gambut di negara itu, sebanyak 16.4 juta hektar telah terdegradasi dan berisiko tinggi untuk terbakar.

Punca utamanya ialah aktiviti pencerobohan skala industri bagi perladangan kayu, pulpa, kertas, tapak sawah dan kelapa sawit.

Untuk mengusahakan tanah gambut, saliran parit sepanjang kira-kira 285,000 kilometer telah digali bagi mengalirkan air ke sungai atau laut.

Tindakan ini menyebabkan tanah gambut menjadi sangat kering untuk terbakar, terutamanya ketika fenomena El Nino melanda.

Kebakaran bawah tanah ini sukar dipadamkan dan sering berlarutan sebagai kebakaran “zombi” selama berminggu-minggu.

Menurut kajian Greenpeace, walaupun kebakaran tanah gambut merangkumi kurang satu pertiga daripada keseluruhan kebakaran hutan di Indonesia, ia menyumbang sebahagian besar jerebu beracun.

Asap beracun ini mengandungi bahan berbahaya seperti formaldehyde, hydrogen cyanide dan ammonia, serta zarah halus PM2.5 yang boleh menembusi paru-paru dan saluran darah.

Lebih 170,000 penduduk di Indonesia dilaporkan memerlukan rawatan jangkitan saluran pernafasan akut pada Ogos dan September lalu.

Setakat 6 Oktober, Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus merekodkan kebakaran hutan Indonesia telah melepaskan 140.5 megaton karbon iaitu angka tertinggi sejak fenomena El Nino teruk pada tahun 2019.

Pakar dan aktivis mendesak agar lesen konsesi aktiviti ekstraktif di kawasan tanah gambut dibatalkan, parit saliran dibendung, dan kawasan terjejas dipulihkan serta ditanam semula dengan spesies tempatan.

Meskipun kerajaan Indonesia melaporkan telah memulihkan 4.16 juta hektar tanah gambut dan membina 45,000 benteng parit, beberapa kawasan yang telah diusahakan semula itu dilaporkan masih mengalami kebakaran.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.