Firefly lanjut batal penerbangan KL-Singapura akibat jerebu

Gambar hiasan Facebook Firefly

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, Firefly, bertindak memanjangkan tempoh pembatalan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Singapura hingga Rabu, berikutan krisis jerebu rentas sempadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan di Pulau Borneo dan Sumatera, semakin buruk akibat impak fenomena El Nino.
  • Singapura antara dua bandar paling terjejas menurut pemantau kualiti udara IQAir.
  • Firefly menggantung penerbangan Subang-Seletar sejak Sabtu sebagai langkah keselamatan proaktif dan memaklumkan pelanggan yang terjejas.
  • Kerajaan Singapura mengaktifkan semula subsidi rawatan perubatan berkaitan jerebu untuk warganya, kali pertama sejak krisis 2015.

Menurut pemantau kualiti udara IQAir yang berpangkalan di Switzerland, Singapura merekodkan kedudukan antara dua bandar raya paling terjejas akibat pencemaran udara di dunia pada pagi Selasa.

Keadaan ini berpunca daripada kebakaran hutan di Pulau Borneo dan Sumatera yang semakin buruk berikutan impak fenomena El Nino.

Dalam satu kenyataan lewat Isnin, Firefly memaklumkan penggantungan penerbangan antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang) dan Lapangan Terbang Seletar Singapura sejak Sabtu lalu merupakan langkah keselamatan proaktif.

“Melihat kepada situasi cuaca semasa yang sentiasa berubah, pihak Firefly sedang memantau perkembangan ini secara rapat. Maklumat terkini mengenai jadual penerbangan akan dimaklumkan secara terus kepada pelanggan yang terjejas,” jelas syarikat berkenaan.

Di Singapura, Indeks Kualiti Udara (AQI) mencatatkan bacaan 193 pada Selasa, iaitu pada paras tidak sihat.

Keadaan itu memaksa kerajaan republik berkenaan mengaktifkan semula skim subsidi rawatan perubatan bagi penyakit berkaitan jerebu untuk warganya, kali pertama sejak krisis jerebu teruk pada tahun 2015.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.