
KUALA LUMPUR, 12 Jun– Demam Piala Dunia FIFA 2026 mula dirasai apabila orang ramai membanjiri Angkasapuri bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan pembukaan kejohanan berprestij itu.
- Acara tontonan bersama memberi peluang peminat merasai suasana kejohanan secara lebih dekat.
- Inisiatif mengeratkan hubungan antara penyiar dan penonton serta menjadi platform menyatukan komuniti melalui minat bola sepak.
- RTM sebagai Penyiar Rasmi menyiarkan kesemua 104 perlawanan melalui Okey, Sukan+, TV1 dan TV2 beserta liputan analisis dan sorotan harian.
Sambutan yang diterima mencerminkan minat tinggi rakyat Malaysia terhadap temasya bola sepak terbesar dunia tersebut.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, acara tontonan bersama itu memberi peluang kepada peminat merasai suasana kejohanan secara lebih dekat.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan antara penyiar dan penonton, malah menjadi platform menyatukan masyarakat melalui minat terhadap sukan bola sepak.
“Apa yang menarik kali ini ialah kemeriahan bermulanya demam Piala Dunia 2026 yang kita bawakan ke Angkasapuri bersama rakyat Malaysia.
Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada RTM dan rakan strategik kami,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Tayangan Siaran Piala Dunia FIFA 2026 di Angkasapuri Kota Media.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Duta Besar Mexico ke Malaysia Luis Javier Campuzano dan Charge d’Affaires Suruhanjaya Tinggi Republik Afrika Selatan ke Malaysia Alleta Maseko.
Sebagai Penyiar Rasmi kejohanan, RTM akan menyiarkan secara langsung kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi saluran Okey dan Sukan+, TV1 dan TV2.
Pada masa sama, membawakan liputan menyeluruh melalui program Grandstand, analisis perlawanan, sorotan harian dan pelbagai kandungan khas sepanjang kejohanan berlangsung.