
PETALING JAYA, 11 Jun – Gerakan koperasi terus diperkasa sebagai pemacu utama ekonomi rakyat dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
- Koperasi sebagai instrumen penting memperkukuh ekonomi rakyat dan memastikan pengagihan kekayaan lebih inklusif.
- ANGKASA mohon pengiktirafan APEX, peruntukan khusus Belanjawan 2027, termasuk Dana Pembangunan Koperasi Mikro dan Kecil serta peluasan ANGKASAMart.
- Sokongan kerajaan melalui geran padanan, pembiayaan mikro dan insentif cukai diperlukan untuk memastikan koperasi kekal berdaya saing.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, koperasi kini bukan lagi sektor pelengkap, sebaliknya instrumen penting dalam memperkukuh ekonomi rakyat serta memastikan pengagihan kekayaan lebih inklusif.
“Sumbangan koperasi kepada ekonomi negara amat besar dan wajar diberi perhatian. Peranan ANGKASA dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) perlu diperkukuh secara lebih agresif bagi memastikan koperasi benar-benar menjana pendapatan, bukan sekadar entiti kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027 di sini, hari ini.
Menurutnya, selaras aspirasi Kerajaan MADANI, koperasi berperanan penting dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti tanpa mengira latar belakang.
Sementara itu, ANGKASA memohon pengiktirafan sebagai badan APEX koperasi negara serta mencadangkan peruntukan khusus dalam Belanjawan 2027, termasuk penubuhan Dana Pembangunan Koperasi Mikro dan Kecil serta peluasan ANGKASAMart.
Bagi tujuan itu, ANGKASA memohon peruntukan RM500 juta untuk pembangunan sektor koperasi.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sokongan kerajaan penting bagi memastikan koperasi kekal berdaya saing, termasuk melalui geran padanan dan pembiayaan mikro.
Beliau turut mencadangkan insentif cukai lebih komprehensif, termasuk pengiktirafan caruman berkanun tiga peratus kepada SKM sebagai potongan cukai.
Resolusi konvensyen tersebut diserahkan kepada kementerian untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 bagi memperkukuh ekosistem koperasi dan sumbangannya kepada ekonomi negara.